Sunday, August 14, 2022

Perpaduan rakyat Sarawak umpama ramuan bubur lambuk yang enak – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semalam mendedahkan, ramuan yang betul telah berjaya menjadikan Sarawak kekal sebagai negeri yang harmoni dan bersatu-padu.

Menurutnya, ia seperti juga ramuan ketika menyediakan “bubur lambuk”, harus memiliki campuran yang betul.

“Jika terlebih garam ia akan menjadi masin, dan jika tersalah campur rasanya akan jadi ‘lain’,” katanya merujuk kepelbagaian kaum dan agama di negeri ini.

Beliau menanam analogi yang cukup mendalam, membayangkan betapa seluruh rakyat di negeri ini, tanpa mengira bangsa dan agama perlu bertolak ansur untuk memelihara perpaduan dan keharmonian, seterusnya membolehkan kerajaan memberi fokus kepada ehwal pembangunan.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Bernas 2016 yang diadakan untuk tahun ke-13 di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Kampung Segedup dekat sini petang semalam.

Program komuniti yang bertemakan “Satu rasa, satu semangat dan satu negara”  ini akan diadakan oleh 45 cawangan Saberkas di seluruh negeri selain beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

Menjelas lanjut, Menteri Perumahan dan Urbanisasi yang juga Presiden Saberkas itu berkata, program seperti memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini harus menjadi landasan terbaik ke arah pengukuhan perpaduan ini, kerana selain mengajak masyarakat melakukan aktiviti gotong-royong, ia juga menjalinkan hubungan mesra di antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Pada masa yang sama, melalui program seperti ini dan juga pelbagai program lain, kita akan dapat melatih generasi muda, terutama ahli Saberkas untuk menjadi pemimpin pelapis pada masa akan datang, sama ada dalam bidang politik mahupun perniagaan.

“Dalam pilihan raya yang lalu, dua pemimpin muda Saberkas telah dilantik menjadi calon Barisan Nasional dan menang, manakala tiga lagi Ahli Majlis Tertingginya dilantik sebagai menteri muda,” katanya.

Dua adun baharu daripada Saberkas  ialah Gerald Rentap Jabu (Penolong Bendahari) dan Abdul Yakub Arbi (Pengerusi Saberkas Cawangan Balingian).

Tiga menteri muda baharu yang dilantik daripada kalangan pemimpin Saberkas pula ialah Timbalan Presiden, Datuk Roland Sagah Wee Inn , Dr Abdul Rahman Junaidi (Setiausaha Agung)

dan Dr Annuar Rapaie (Penolong Setiausaha Penganjur).

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Abdul Rahman Junaidi menyeru lebih banyak syarikat korporat tampil bekerjasama dengan Saberkas bagi melaksanakan program-program  belia pada masa depan.

“Kita mempunyai ahli dan cawangan di seluruh negeri Sarawak dan dengan kerjasama yang dijalin, ia amat sesuai dengan strategi pemasaran dan promosi syarikat-syarikat terbabit ,” katanya.

Untuk progam jerayawara ini, katanya pihak Bernas telah menghulurkan penajaan sebanyak RM30 ribu manakala Majlis Belia Malaysia menyumbang sebanyak RM5 ribu.

Turut hadir, Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap Naib Presiden Saberkas , Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan wakil Bernas Sarawak, Lokman Halim Sabu. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru