Saturday, December 3, 2022

Jangan terpengaruh kenyataan Dr Mahathir, kata Zahid

Secara Rawak

SUNGAI BESAR: Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat secara terbuka berkempen untuk calon Amanah bagi kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Timbalan Perdana Menteri meminta pengundi terbabit supaya tidak mudah terpengaruh dan terpedaya oleh mantan Perdana Menteri itu.

Semalam, Dr Mahathir dilihat bergerak di kawasan Parlimen Sungai Buloh dan menyampaikan ceramah di satu majlis di Sekinchan di hadapan kira-kira 500 orang.

Malah, beliau meminta pengundi untuk menolak kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, bertepatan dengan matlamat Deklarasi Rakyat yang dilancarkannya baru-baru ini.

Untuk itu, dalam sidang media di sini semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap ucapan Dr Mahathir yang telah tersebar melalui media sosial, tidak mempengaruhi pengundi.

“Saya harap ucapan Dr Mahathir itu tidak mempengaruhi pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar,” kata Zahid.

Kata Zahid: “Kita tahu beliau cuba membakar kelambu, dan tentunya kita tidak mahu kelambu BN terbakar kerana beliau.”

Berkaitan dakwaan Dr Mahathir bahawa orang Melayu menyokong UMNO secara membuta tuli, Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, dakwaan itu tidak menggambarkan diri Dr Mahathir yang dahulu.

“Mungkin beliau tersalah bacaan dalam keadaan umurnya, kita harap Allah berli perlindungan kepada beliau.,” katanya.

Beliau berkata: “Kita harap tatabahasa yang digunakan oleh beliau dahulu sama dengan tatabahasa yang digunakan sekarang.”

Difahamkan Dr Mahathir akan turut berkempen di Kuala Kangsar hari ini. Perdana Menteri telah mengadakan kunjungan ke kawasan berkenaan sejak dua hari lalu.

Bagi Dr Mahathir, beliau ingin memastikan kemenangan Amanah, yang kini bersama-sama Pakatan Harapan kerana kini Pas sudah berbaik-baik dengan Umno dan Barisan Nasional.

Beliau menyifatkan pilihan raya kecil Parlimen 18 Jun ini sebagai referendum untuk Najib.

Namun, Timbalan Perdana Menteri percaya bahawa orang ramai tidak akan mudah terpedaya oleh kenyataan Dr Mahathir ketika beliau juga disifatkannya cuba menguji sejauh mana popularitinya dalam kalangan pengundi.

Dalam pertembungan tiga penjuru, antara BN, Amanah dan Pas, BN masih dianggap mempunyai kelebihan walaupun menang hanya dengan majoriti 399 undi pada pilihan raya 2013.

13415420_739191699552743_5993378827482803565_o

Zahid berkata mantan presiden Umno itu mungkin berdepan konflik dan kecelaruan minda.  Baginya, rakyat sudah sedar akan wajah sebenar Dr Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang yang suatu ketika dahulu dimusuhinya.

Katanya, sebelum ini mungkin ada yang bersimpati kepada Dr Mahathir, namun kini ramai yang tidak dapat menerimanya.

“Jangan risau, tidak ramai akan terpengaruh. BN juga tidak perlu tangkis apa yang beliau lakukan kerana masyarakat akan tangkis sendiri,” tambahnya.

Kata Zahid: “Kita kasihan dengan beliau kerana tersalah jalan.”

Beliau berharap ia tidak diterima bulat-bulat dalam kalangan mereka yang berada di atas pagar.

“Biar seorang sahaja yang keliru dan orang lain tidak keliru,” tambahnya.

Sementara itu, Zahid berkata, dia berdoa kepada Allah supaya bekas Dr Mahathir kembali kepada Umno sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali keluar dari Umno awal tahun ini sebagai protes terhadap kepemimpinan Najib. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru