Adun Tupong cadang litar lumba kekal di pekarangan Stadium Sarawak

0
5

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, 41 tahun, memulakan ucapan sulungnya di Dewan Undangan Negeri Sarawak minggu lalu dengan menyeru kerajaan negeri untuk membina sebuah litar lumba di bandar raya ini, bagi mempromosi dan meningkatkan minat rakyat terhadap sukan permotoran di Sarawak.

FazzruddinMenurutnya, pembinaan litar ini juga diharapkan akan mengekang gejala lumba haram, yang semakin berleluasa terutama pada setiap hujung minggu.

“Sukan permotoran kini semakin diminati oleh kalangan anak muda, bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh dunia.

“Ia berpotensi untuk dimajukan dan ini terbukti dengan semakin banyak perlumbaan drag dianjurkan di negeri ini,” katanya.

Pada masa yang sama, kewujudan litar lumba kekal ini akan membolehkan Sarawak menjadi tuan rumah kepada pelbagai aktiviti sukan permotoran seterusnya memberi keuntungan dari segi pelancongan dan perkhidmatan sampingan lain.

Untuk itu, Fazzrudin mencadangkan kawasan parkir di Stadium Sarawak dinaiktarafkan sebagai lokasi penganjuran sukan tersebut.

“Selain menjadi kawasan parkir ia juga boleh dijadikan sebagai litar lumba – sesuai dengan lokasinya yang terletak dalam Kompleks Sukan Negeri.

“Tahun ini saya terlibat secara langsung dalam penganjuran Perlumbaan Drag Petra Jaya di Matang dan kita berjaya menarik perhatian beberapa negeri di Semenanjung termasuk dari Thailand, Singapura dan juara dunia lumba drag dari Greece, “ katanya.

Mengulas lanjut, Fazzrudin berkata, cadangan ini perlu dilihat dengan mengguna pakai infrastruktur yang sedia ada terlebih dahulu.

“Kerana itulah kita melihat kawasan parkir Stadium Sarawak ini, yang memiliki ruang yang besar dan sesuai untuk aktiviti ini.

“Kajian serta cadangan reka bentuk boleh dibuat untuk menaiktarafkan permukaan jalan, agar sesuai sebagai sebuah litar dan parkir sekali gus.

Sebagai permulaan, peruntukan sebanyak RM500 ribu adalah memadai untuk tujuan tersebut, ujarnya.

Katanya, perbincangan susulan dengan Persatuan Perlumbaan Automatif Sarawak boleh dilakukan untuk mendapatkan hasil kajian yang lebih lengkap. – Sarawakvoice.com