Monday, December 5, 2022

Adenan, tolonglah 4,000 setinggan di Miri keluar dari kedaifan

Secara Rawak

KUCHING: Di sebalik usaha serius dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menghapuskan masalah setinggan di bandar-bandar utama di negeri ini termasuk di Kuching dan Miri, masalah itu masih lagi berlarutan sehingga sekarang.

Ketika berkempen menjelang pilihan raya 7 Mei lalu, calon BN Pujut Dato Hii King Chiong mengakui bahawa terdapat tujuh puluh keluarga setinggan di kawasan DUN Pujut tinggal dalam keadaan yang teruk.

Justeru, Majulah Miri yang diterajui beliau berjanji membantu untuk memindahkan mereka ke penempatan baharu di Tudan.

Ting Tiong Choon
Ting Tiong Choon

Bagaimanapun, Hi ditewaskan oleh calon DAP Dr Ting Tiong Choon di kerusi terbabit.

Difahamkan 70 keluarga tersebut adalah dari tiga kawasan berlainan, iaitu kawasan setinggan Pujut 6, Kampung Pujut dan Pujut 8 di tebing sungai.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini, Adun terbabit telah membangkitkan isu setinggan di kawasan diwakilinya itu.

Beliau menggesa agar kerajaan negeri mempercepat langkah menempatkan para setinggan di kawasan baharu.

Mereka telah hidup dalam keadaan menderita selama 50 tahun, dan berharap kerajaan pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dapat memberikan perhatian terhadap masalah mereka.

Menurut Dr Ting, setinggan terbabit adalah di Kampung Merican, Kampung Api-Api, dan Kampung Pasir.

Katanya, dalam ucapan di DUN Jumaat lalu, 378 keluarga yang tinggal di kampung terbabit berdepan masa depan tidak menentu, termasuk kanak-kanak.

Sebagai setinggan, mereka kekurangan kemudahan, selain menghadapi masalah keselamatan dan kesihatan.

Beliau mendakwa kerajaan telah berjanji menyediakan 15,000 rumah mampu milik pada 2011, tetapi janji berkenaan belum algi ditunaikan.

Terdapat 4,000 tinggal di kawasan setinggan di Miri, daripada 8,000 setinggan didaftarkan di Sarawak.
Pegawai bertanggungjawab Majulah Miri Keith Chin  sebelum ini dipetik sebagai berkata, Jabatan Tanah dan Survei telah mengumpul maklumat daripada setinggan tersebut.

Kebanyakan penduduk setinggan dikatakan datang dari daerah lain dan membina rumah setinggan sebagai kediaman kerana kekangan kewangan.

“Mereka semua ialah pengundi yang layak,” katanya.

Hii dalam laporan itu dipetik sebagai berkata telah berjanji membantu mereka mempercepat kelulusan untuk penempatan semula supaya mereka boleh membina rumah mereka di lokasi yang lebih baik, menikmati kemudahan asas dan infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Dengan beliau tewas dalam pilihan raya lalu, adakah janji itu diteruskan?

Sebelum ini, kerajaan telah menempatkan beberapa ribu penduduk setinggan di Bukit Kanada ke Tudan Desaras Fasa 6, manakala ribuan lagi masih tinggal di kawasan setinggan.

Jabatan Tanah dan Survei (JTS) pernah berkata, terdapat lebih 4,000 penduduk setinggan tinggal di Kampung Baru Pujut 7, Kampung Pujut Sungai Adong, Kampung Merapak Pujut 8 dan Kampung Damai Jaya, Piasau Utara.

Para setinggan merayu kepada kerajaan menyediakan lot tanah kerana kebanyakan mereka daif dan sudah lama menetap di kawasan  terbabit. – Sarawakvoice.com

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru