Wednesday, December 7, 2022

YB diikat pada janjinya

Secara Rawak

KUCHING: Menjelang pilihan raya lalu, menteri, pemimpin dan calon Barisan Nasional (BN) banyak sekali menabur janji kepada 1.13 juta pengundi Sarawak.

Ini termasuk janji yang terkandung dalam manifestonya.

Berjanji memang mudah, menunaikannya memang susah apatah lagi dengan sumber kewangan yang terbatas.

Tetapi ingat, kerbau diikat pada talinya, YB diikat pada janjinya.

Jangan pula memberi seribu satu alasan apabila rakyat meminta janji itu ditunaikan.

Semalam, Pengerusi Sarawak Barisan Nasional Backbenchers’ Club (BNBBC) Abdullah Saidol  memberi amaran kemungkinan BN boleh kehilangan sokongan pada pilihan raya umum ke-14 jika janji-janji tidak ditunaikan segera.

“Projek yang dijanjikan oleh pemimpin persekutuan pada pilihan raya Mei lalu perlu dikotakan secepat mungkin,” kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera (PBB) itu.

Abdullah berkata demikian dalam ucapan penghargaan terhadap ucapan pembukaan  TYT Yang di-Pertua Negeri di DUN Sarawak, semalam.

Pada Rabu, Tun Abdul Taib Mahmud menasihati kerajaan di bawah kepemimpinan Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem agar memenuhi janji pada pilihan raya lalu.

Kata Taib, rakyat mengharapkan kerajaan BN mengotakan janji yang  terkandung dalam manifesto pilihan raya.

“Saya yakin kerajaan negeri akan memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lalu,” katanya.

Kerajaan persekutuan berjanji melaksanakan 400 projek, dengan anggaran kos sekitar RM730 juta menjelang kempen pilihan raya negeri ke-11.

Kini, Abdullah meletakkan bebanan tanggungjawab itu kepada kerajaan persekutuan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, dengan berkata bahawa kerajaan pimpinan Najib tidak harus menganggap ringan tuntutan Sarawak terhadap autonomi.

Justeru, Putrajaya perlu mengembalikan hak Sarawak dan memenuhi janji terbabit, jika tidak BN berdepan risiko ditolak pengundi pada pilihan raya umum.

Adun Semop  itu juga berkata, beliau sedar bahawa kepemimpinan negeri telah meminta Putrajaya memberi hak yang dijamin di bawah perlembagaan dengan memohon lebih banyak peruntukan untuk pembangunan.

Pada pilihan raya lalu, BN memenangi 72 daripada 82 kerusi DUN, termasuk merampas lima kerusi majoriti Cina dimenangi DAP pada pilihan raya 2011.

Peratusan undi popular juga mengukuh daripada 55.4 peratus kepada 63.7 peratus.

Peratusan pengundi yang turun mengundi ialah 70.1 peratus daripada 1.13 juta pengundi berdaftar.

Bagi Abdullah, kejayaan cemerlang BN membuktikan bahawa rakyat Sarawak menolak politik konfrontasi dan kebencian, serta ekstremisme yang cuba dibawa oleh pemimpin politik pembangkang dari Semenanjung. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru