Wakil rakyat minta sejarah Sarawak diberi perhatian dalam buku teks sekolah

0
5

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak terus memperlihatkan minat mendalam terhadap pentingnya autonomi dari segi pendidikan diserahkan kepada negeri ini.

Persoalannya, adakah  alasannya hanya kerana kurikulum dan buku teks tidak memberi perhatian kepada sejarah Sarawak dan Sabah?

Mungkinkah kita dibenarkan untuk mempunyai kurikulum yang berbeza bagi sekolah kebangsaan di negara ini?

Namun, bagi Adun SUPP-BN Maradong beliau kecewa dengan perkara yang berlaku dari segi pelajaran sehingga memberi kesan yang mendalam terhadap pemahaman pelajar tentang sejarah negara ini.

Bagi Ding Kuong Hiing, dasar pelajaran kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Pelajaran yang tidak konsisten atau yang disifatkannya sebagai ‘flip flop’’ menyebabkan sejarah Sarawak semakin terpinggir dalam buku teks mata pelajaran berkenaan.

“Lebih banyak penekanan diberi kepada sejarah Tanah Melayu, dan bukannya sejarah Sarawak dan Sabah,” katanya ketika membentangkan hujahnya dalam ucapan perbahasan pertama sebagai Adun di Dewan Undangan Negeri.

Bagi Adun Bintangor itu, untuk 53 tahun sejak Malaysia dibentuk, generasi pelajar telah menjadi mangsa dasar pelajaran yang sering berubah-ubah.

Namun, Ding berkata, bukan bermaksud bahawa beliau menentang pengajaran tentang Persekutuan Tanah Melayu, tetapi negara kita ialah negara Malaysia, dan bukan Malaya.

Baginya, penekanan yang tidak seimbang dari segi sejarah  negara dalam buku teks berkenaan memberi implikasi besar.

Untuk itu, beliau mencadangkan, tajuk yang perlu diliputi di sekolah, antara lain, ialah kedatangan Rajah Brooke, zaman pemerintahan British, kemerdekaan Sarawak, dan pembentukan Malaysia sebagai sebuah persekutuan.

Hakikatnya, Kementerian Pelajaran telah pun menubuhkan satu jawatankuasa beberapa tahun lalu bagi mengkaji kandungan kurikulum dan topik berkaitan sejarah Sarawak dan Sabah ekoran kritikan pelbagai pihak berkaitan pengabaian terhadap sejarah kedua-dua negeri terbabit. – Sarawakvoice.com