Sunday, December 5, 2021

Kerajaan Pusat perlu tunai janji atau hadapi risiko kalah dalam PRU14 – Abdullah Saidol

Secara Rawak

KUCHING: “Tunaikan janji atau hilang sokongan,” itu amaran Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Abdullah Saidol kepada kerajaan BN Pusat, menjelang pilihan raya umum ke-14 kurang tiga tahun dari sekarang.

Abdullah Saidol
Abdullah Saidol

Menurutnya, perkara ini penting kerana rakyat Sarawak tidak mudah termakan oleh janji manis dan gula-gula politik.

“Banyak janji telah ditaburkan oleh pemimpin pusat menjelang pilihan raya negeri lalu dan kini adalah masanya untuk mereka menunaikan janji tersebut.

“Projek-projek yang dijanjikan mesti dilaksanakan secepat mungkin atau kita akan berhadapan masalah menjelang pilihan raya umum nanti,” katanya yang juga Ketua Setiausana Politik kepada Ketua Menteri Sarawak.

Abdullah memberi amaran, sekiranya janji-janji ini gagal dilunaskan, ia akan memberi kesan yang cukup mendalam kerana pengundi di negeri ini memiliki ingatan yang baik berhubung projek-projek bernilai jutaan ringgit yang dijanjikan dalam kempen lalu.

“Dalam Parlimen yang mempunyai 222 kerusi, BN Sarawak memiliki 14 kerusi, yang kedua terbesar selepas UMNO.

“Tentunya mereka (pemimpin Putrajaya) inginkan kita mengulangi kecemerlangan seperti memenangi 72 daripada 82 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu,” katanya.

Beliau sebelum itu membahaskan usul terima kasih ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri sempena mesyuarat pertama pada penggal pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak selepas pilihan raya negeri yang lalu.

Abdullah menambah, pada masa yang sama tidak selama-lamanya Sarawak akan menjadi “deposit tetap BN” terutamanya pada pilihan raya umum yang akan datang, jika Kerajaan Pusat tidak mempercepatkan usaha mengembalikan hak autonomi dan hak-hak negeri di kepulauan Borneo ini.

Jelasnya, Putrajaya tidak harus memandang ringan permintaan negeri ini berhubung kuasa autonomi.

“Jika ini terus berlaku, usahlah Putrajaya bermimpi Sarawak akan kekal sebagai ‘simpanan tetap’ untuk BN lagi,” katanya.

Abdullah percaya, rakyat Sarawak kini tertarik dan fokus kepada usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam menuntut kembali hak negeri ini.

“Rakyat sedar akan niat dan usaha kerajaan negeri, terutamanya mengenai peruntukan pentadbiran kerajaan, dan mereka tidak mahu kepentingan negeri ini terus dikawal secara jauh oleh  Putrajaya,” jelasnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru