Thursday, December 8, 2022

Kedudukan hutang Malaysia lebih baik  daripada Jepun, Amerika, Singapura

Secara Rawak

KUALA KANGSAR: Perdana Menteri berkata kedudukan hutang negara lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan Singapura.

Menurut Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, jumlah hutang Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura lebih besar jika dibandingkan dengan pendapatan per kapita mereka

“Pakai dan dengar apa yang Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) cakap. Semua cakap ekonomi negara di bawah Barisan Nasional (BN) diurus dengan baik,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan kejatuhan harga getah 2016 di sini, hari ini.

Najib  berkata kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan masih pada tahap yang mampu ditangani oleh kerajaan.

Hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sehubungan itu, Najib meminta rakyat supaya tidak  mudah terpengaruh dengan dakwaan dan dakyah  pihak tertentu kononnya negara mempunyai hutang yang amat banyak.Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan kerajaan memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, termasuk pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Najib berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan  pada 1 April 2015 terbukti memberi kebaikan kepada rakyat.

Katanya: “Sistem ini (GST) bukan nak susahkan rakyat, tapi untuk kebaikan negara. Bila hasil bertambah, kita pulangkan balik kepada rakyat.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru