Saturday, December 3, 2022

Ekstremisme agama: Presiden MIC mahu pengundi tolak Pas, Amanah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden MIC meminta para pengundi pada pilihan raya kecil Parlimen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar  menolak Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Datuk Seri Dr S. Subramaniam  berkata hal ini kerana kedua-dua parti berkenaan telah memperjuangkan dasar agama yang ekstrem yang tidak serasi dengan masyarakat pelbagai etnik dan pelbagai agama di negara ini.

Dr Subramanian berkata, pendirian politik Pas lari daripada demografi Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang etnik dan berbilang agama.

Menurut beliau, parti Islam itu  tidak mahu berganjak daripada keazamannya untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud.

Baru-baru ini presiden tiga buah parti politik, MCA, Gerakan dan MIC telah menyatakan kesediaan mereka untuk melepaskan jawatan sebagai menteri jika Rang Undang-Undang berkenaan hudud diluluskan.

“MIC begitu konsisten dalam menentang perkara ini” katanya.

Menurut menteri itu, MIC telah memberitahu masyarakat India di  kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar supaya menolak ekstremisme agama.  

“Ia juga tidak selari dengan Perlembagaan yang menjadi asas kelahiran negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Pas telah membohongi pengundi bahawa hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia.

Katanya: “Kami akan gunakan semangat konsensus dalam Barisan Nasional bagi memastikan semangat yang terkandung dalam perlembagaan dihormati dan dijunjung.”

MIC, katanya, akan terus berjuang  bagi memastikan hukum hudud tidak dilaksanakan di negara ini.

Pilihan raya di  dua kerusi Parlimen berkenaan akan diadakan pada 18 Jun ini.

Dr Subramaniam, bagaimanapun percaya kewarasan akan wujud bagi memastikan negara ini tidak terjerumus ke arah yang berbahaya untuk masa depannya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru