Sunday, November 27, 2022

Dr Mahathir  anggap pilihan raya kecil referendum untuk Najib

Secara Rawak

SABAK BERNAM: Tun Dr Mahathir  Mohamad menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun adalah sebagai referendum bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat kini menolak kepemimpinan beliau.

“Sudah tentu kita ingin mendapat kemenangan untuk tunjuk kepada Najib betapa rakyat benci padanya,” kata beliau dalam sidang media, di sini.

Dr Mahathir untuk sekian lama dilihat menyimpan dendam untuk menggulingkan Najib dripada jawatannya termasuk melalui Deklarasi Rakyat, dengan mengumpul sekitar 1.2 juta tandatangan walaupun 300,000 daripadanya diragui kesahihannya kerana dikatakan dipalsukan.

Mantan Perdana Menteri berkata, para pengundi di kedua-dua kawasan Parlimen terbabit dapat menyalurkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepemimpinan Najib walaupun beliau menyedari bahawa ia tidak akan dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

Beliau menegaskan bahawa PRK berkenaan bukan bertujuan untuk mengubah kerajaan.

“Pilihan raya kecil ini adalah sebagai  referendum  bagi membuktikan kepada Najib bahawa rakyat menolak beliau. Ini adalah tujuan utama pilihan raya ini,” katanya.

Pemerhati politik akar umbi yang ditemui berkata, besar kemungkinan kedua-dua kerusi itu akan dimenangi oleh calon Barisan Nasional.

BN menang dengan majoriti 399 undi di Sungai Besar dan 1,086 undi di Kuala Kangsar pada  pilihan raya umum 2013 ketika Pas masih lagi bersama Pakatan Rakyat.

Kini, parti Islam itu tidak bersama pakatan baharu pembangkang, Pakatan Harapan.

Namun, menyedari kemungkinan tersebut, Dr Mahathir bagai mencari alasan, bahawa, kalaupun BN menang, ini bukan bermakna bahawa rakyat menyukai Najib.

Sebaliknya, mereka besar kemungkinan tidak memahami masalah dan isu  yang dihadapi negara.

Dr Mahathir yang bertekad untuk terus berkempen bagi menyingkirkan Najib berkata,  mengetepikan Najib sebagai Perdana Menteri akan mengembalikan negara ini kepada sistem demokrasi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru