Saturday, December 3, 2022

Pilih Pas atau Amanah, gesa Najib kepada Azmin Ali

Secara Rawak

SUNGAI BESAR: Pilih Pas atau Parti Amanah Negara (Amanah).

Itulah gesaan Perdana Menteri terhadap kerajaan negeri Selangor dalam menentukan pilihan bagi pilihan raya kecil  (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.
Kerajaan Selangor  bagi Najib perlu mengambil pendirian yang tegas dan jelas.

Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali masih mengekalkan Pas dalam kerajaannya, tetapi pada waktu yang sama menerima Amanah sebagai sekutu dalam Pakatan Harapan, menggantikan Pakatan Rakyat yang telah pun bubar.

“Duduk dalam satu kerajaan, tetapi tiada persefahaman. Seolah-olah tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Ini bukan ramuan yang boleh memberi kita keyakinan,” kata Perdana Menteri.

Beliau bertanya: “Di mana letak pendirian kerajaan negeri Selangor, siapa yang dia sokong? Sokong PAN (Amanah) atau sokong PAS? Tolong jelaskan.”

Najib berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima, di sini, semalam.

Mengulas  lanjut, Najib berkata negara memerlukan kerajaan yang kuat untuk memimpin dan kerajaan BN terbukti mampu menguruskan dasar demi kepentingan rakyat.

Katanya: “Kekuatan kerajaan BN akan bertambah lagi sekiranya mencapai kemenangan di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.”

Bagi Perdana Menteri, kalau kerajaan pusat tidak kuat negara akan menghadapi tekanan, dan akhirnya rakyat yang menderita.

“Kita tidak mahu rakyat dalam keadaan susah atau tertekan, kita nak kerajaan yang kuat dan kukuh,” tambahnya.

Najib menjelaskan walaupun negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi, ekoran kejatuhan harga minyak dunia, namun kerajaan masih mampu menjaga kebajikan rakyat dan meluluskan projek untuk kepentingan rakyat.

“Ini baiknya kita pilih kerajaan yang stabil kerana kalau kita berkeceramuk sesama kita apa akan terjadi kepada negara kita…akhirnya ekonomi kita akan merudum,” katanya.

Kata Najib, soal memilih kerajaan ini tidak harus dibuat mengikut emosi, tetapi  perlu rasional dan tenang.

BN mempertaruhkan  Budiman Mohd Zohdi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon Amanah dan Pas.

Pada pilihan raya umum 2013 kerusi  Sungai Besar dimenangi Datuk Norsiah Kasnon, yang terkorban dalam nahas helikopter di Simunjan Sarawak pada 5 Mei lalu, dengan majoriti 399 undi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru