Liga Super: Jodoh Sarawak dan Davide Grassi berakhir

0
10

KUCHING: Selepas bercuti panjang, sejak perlawanan menentang The Bos Gaurus di Stadium Perak di Ipoh, skuad Sarawak akan menyambung sesi latihannya pada Isnin depan.

Cei0xpuXIAAs0o0Bagaimanapun latihan pada 13 Jun ini akan menyaksikan anak-anak buah David Usop kehilangan pertahanan importnya, Davide Grassi, setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk berpisah secara baik.

Enggan mengulas lanjut tentang perpisahan, pengurus pasukan, Abdullah Julaihi, berkata fokus barisan kejurulatihannya kini adalah mencari pengganti pemain berusia 30 tahun yang lahir daripada akademi bolasepak Parma FC di Itali itu.

“Beberapa pemain telah pun kita kenal pasti dan mereka akan menjalani ujian bersama-sama skuad Bujang Senang sebaik latihan disambung semula nanti,” katanya hari ini.

Menurut Abdullah, skuad Ngap Sayot itu kini memberi tumpuan kepada mengekalkan momentum kemenangan yang dicapai pada dua perlawanan terakhir lalu, sejak David Usop mengambil alih tugas Datuk K Rajagobal.

“Fokus pasukan sekarang adalah kepada persiapan untuk mengharungi pusingan kedua liga, sekali gus menghadapi cabaran kempen Piala Malaysia,” katanya.

 Sarawak berada pada kedudukan kesembilan Liga Super setelah mencapai kemenangan 3-2 di Stadium Negeri dan 3-0 di Stadium Perak.
Sarawak diundi dalam Kumpulan A Piala Malaysia bersama-sama pasukan T-Team, JDT 2 dan Kedah. – Sarawakvoice.com