Ismawi, Jaul dilantik Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri baharu, Misnu dilantik YDP Majlis Islam Sarawak

0
22

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan melakukan rombakan besar-besaran pada bulan ini, yang melibatkan beberapa jawatan kanan pentadbiran.

Menurut sumber, rombakan dimulakan dengan pelantikan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Kemajuan Tanah, Datu Jaul Samion sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri menggantikan Datu Ose Murang yang bersara wajib.

Pengarah Unit Perancang Negeri, Datu Ismawi Ismuni pula dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri bermula 17 Jun depan menggantikan Datuk Misnu Taha, yang ditawarkan sebagai Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak, bertaraf menteri.

Sumber itu menambah, kekosongan yang ditinggalkan Ismawi akan diisi oleh Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Abu Bakar Marzuki.

Tempat Abu Bakar tersebut pula akan diambil alih oleh Azmi Bujang yang kini merupakan  Setiausaha Sulit Kanan kepada YAB Ketua Menteri Sarawak.

Difahamkan tugas Azmi  akan diambil alih oleh Pegawai Tadbir Khas Ketua Menteri, Wan Khalid Wan Muhammad.

Rombakan ini dikatakan sebagai salah satu proses penstrukturan semula pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri bagi melatih kelompok pelapis yang akan mengambil alih pentadbiran negeri ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.

” Atas alasan itu jugalah khidmat dan kontrak Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dilanjutkan,” kata sumber itu lagi.

Pada masa yang sama katanya, kesemua penjawat Setiausaha Politik kini sedang proses penilaian bagi menentukan sama ada kontrak mereka layak disambung atau sebaliknya.

“Khidmat kebanyakan mereka tamat pada Jun ini, dan selepas ini pelantikan mereka tidak lagi bersandarkan perkhidmatan berasaskan parti yang diwakili.

“Sebaliknya berasaskan penugasan di kementerian bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab secara lebih efisien,” jelasnya.