Tuesday, December 6, 2022

Empat rakyat Sarawak mangsa culik diterbangkan ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Empat tebusan rakyat Sarawak yang dibebaskan pada Rabu lalu diketemukan dengan keluarga mereka di kawasan yang dirahsiakan di sini, semalam.

Menurut sumber polis, rombongan keluarga mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sekitar jam 4 petang semalam dengan menaiki pesawat Air Asia.

“ Mereka tiba dengan kawalan yang ketat pihak Cawangan Khas bagi mengelakkan sebarang pertemuan dan perhubungan dengan pihak media,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.

Sebaik tiba, keluarga keempat-empat mangsa dikejarkan ke lokasi yang dirahsiakan dengan menaiki tiga buah kenderaan.

Terdahulu, keempat-empat mangsa —  Wong Teck Kang, 31 tahun, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan  Johny Lau Jung Hien, 21, kesemuanya dari Sibu, Sarawak,  tiba awal di Kota Kinabalu dari Sandakan  dan telah dibawa ke ibu pejabat polis Kontijen Sabah di Kepayang untuk tujuan taklimat.

Krew kapal tunda MV Massive 6 ini dipercayai dalam keadaan yang sihat dan akan diterbangkan ke Kuala Lumpur pada pagi ini untuk siasatan lanjut.

Keempat-empat mereka telah diculik pada 2 April lalu apabila lapan penculik bersenjata dan bertopeng menaiki kapal tunda yang sedang dalam perjalanan ke Tawau setelah menghantar kargo kayu ke Manila.

Mereka dibebaskan setelah 37 hari dalam tahanan kumpulan yang dipercayai ada kaitan dengan militan Abu Sayyaf, tanpa sebarang bayaran tebusan ataupun pampasan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru