Friday, October 7, 2022

Antara PRN Sarawak, PRK Kuala Kangsar dengan  Sungai Besar

Secara Rawak

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Hakikatnya piluhan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pilihan raya negeri Sarawak  diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak manakala pilihan raya kecil (prk) Kuala Kangsar dan Sungai Besar berlaku untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen di luar jangka disebabkan oleh kematian dua penyandang yang terkorban dalan nahas helikopter 5 Mei lalu.

Sebenarnya, PRK boleh juga berlaku  apabila peletakan jawatan, hilang kelayakan  dan pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Berikut dikemukakan beberapa  perbezaan  PRN Sarawak dan PRK Kuala Kangsar agar dapat memberikan  perspektif yang lebih luas kepada pembaca.

Tiada Faktor Adenan

Faktor kemenangan besar di Sarawak  ialah  Adenan Satem  yang tegas, jujur dan memahami hati nurani rakyat Sarawak. Ketika pengundi Cina berbelah bahagi untuk memilih antara antara calon wakil rakyat yang tidak disukai dengan BN Sarawak dipengerusikan oleh Adenan, maka kata Adenan, “kalau anda tak suka calon wakil rakyat kawasan anda,  ingatlah  saya ini Adenan Satem, bukan Pek Mo.

Pilihan PRK

Disebabkan  pilihan raya kecil, maka pilihan wakil rakyat semakin terbatas. Maksudnya,  hanya seorang  yang akan dipilih.  PRN Sarawak ada 82 calon perlu dipilih. Jadi, apabila pemilihan semakin sempit,  maka calon Kuala Kangsar dan Sungai Besar calon yang dikemukakan adalah terbaik, tersaring dan terkemuka yang boleh menang dalam kaca mata BN.

Budaya Jawa

Calon BN  Sungai Besar calon yang dianggap bersih dan mewarisi ciri-ciri budaya Jawa asli yang taat, tekun, bekerja keras, jujur dan amanah.  Sesuai juga dengan majoriti penduduk yang terdiri orang  Jawa di Sungai Besar. Namun, tidak terlepas daripada kritikan bahawa calon ini merupakan calon kitar semula.

Sepatutnya diberikan kepada muka baharu lain untuk dijadikan pemimpin pelapis UMNO Selangor bagi berdepan dengan pentadbiran Selangor yang diketuai oleh Azmin Ali yang sentiasa mempunyai kawalan, pengaruh dan logistik terhadap setiap kawasan  kerana Selangor dikuasai oleh Pakatan Harapan.

Kuala Kangsar

Kuala Kangsar pula diwakili calon wanita yang diyakini BN bahawa selain undi simpati daripada rakyat, latar belakang pendidikan, pengalaman dalam parti UMNO menjadi  modal kempen BN untuk meraih undi dan menang. Namun, sesetengah pihak berpendapat beliau ialah orang luar kerana berasal dari Rembau mulai dijadikan kempen menolak beliau.

Isu terikat dengan idah  selama  4 bulan 10 hari  yang perlu dipatuhi  terus diyakini  akan dimanipulasikan oleh pembangkang  untuk  meraih undi.

Dalam PRN Sarawak tidak ada isu idah dan  isu politik budaya Jawa.  Ketika PRN Sarawak bubar, kerajaan sementara masih dipegang oleh Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak. Di PRK  Sungai Besar Menteri Besar tetap di bawah  pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala di Kuala Kangsar Menteri Besar   di bawah pentadbiran UMNO,  iaitu Datuk Seri Diraja  Zambri Abdul Kadir.

Harapan menang

Ketika PRN Sarawak, harapan BN Sarawak sangat besar akibat pengambilalihan kepemimpinan baharu  dan mandat baharu Datuk Patinggi  Tan Sri Adenan Satem.  

Dalam  PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar ternyata harapan menang ada,  cuma PRK ini dipengaruhi  isu nasional seperti IMDB, GST, dan kenaikan kos sara hidup. Meskipun dianggap isu lama,  ia tetap menjadi igauan besar buat kepemimpinan UMNO.

Isu IMDB dan GST   menjadi  tapak ‘tumit  archilles’  UMNO pada masa kini dan masih terus relevan dalam konteks PRK Kuala Kangsar dan  Sungai Besar.

Sejauh manakah isu ini dimainkan dan berjaya diterapkan dalam imaginasi pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar  oleh pembangkang sebenarnya menjadi penentu  menang kalah UMNO dalam PRK.  

Manakala isu rang  undang-undang hudud terus menghantui pengundi Cina  yang mewakili antara 25 hingga 30 peratus undi Cina dalam PRK ini.  Isu ini panas hingga menyebabkan Hadi Awang  memohon menangguhkan  perbahasan ke sesi Parlimen akan datang.

Inilah jalan politik selamat  parti PAS dan UMNO terus mengelak daripada memperkatakan isu ini.  Hal ini  dapat dikesan  berdasarka kenyataan Budiman Mohd Zohdi, calon UMNO Sungai Besar apabila diasak  tentang pendirian beliau selaku calon  wakil UMNO ke Parlimen, ‘Biar saya menang dahulu”.

Sejauh mana isu ini  berjaya dimainkan oleh parti Amanah misalnya, akan mempengaruhi keputusan PRK. Masalah utama ketika kini ialah parti Amanah sendiri  kekurangan jentera untuk bergerak kerana ia merupakan parti baharu  serpihan PAS.

PAS tidak akan berkerjasama dengan  PAN, manakala PKR dalam dilemma dan terpaksa mengambil hati PAS yang merupakan  sekutu mesra dalam kabinet Selangor. DAP pula lebih memihak parti PAN dan memainkan peranan meraih undi Cina untuk PAN.  

Dalam perbezaan PRN Sarawak dan PRK ini ternyata terdapat  persamaan yang jelas.

Yang pasti ialah parti pembangkang terus berbalah sesama sendiri dan ini diyakini akan mempengaruhi pola pengundian dan keputusan PRK pada 18 Jun ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru