Wahai pemimpin UPP, SUPP, jangan sampai rakyat muak

0
3

KUCHING: Masalah antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP) masih belum reda lagi.

Konflik dan saling berbalas serangan dan kenyataan sudah berlarutan lebih dua tahun sejak krisis kepemimpinan tercetus dalam parti tertua Sarawak yang ditubuhkan ada 1959 itu.

Kini, Datuk Sri Wong Soon Koh kembali kepada UPP sebagai presiden meski rakyat mendapat persepsi ia sudah dibubarkan selepas pilihan raya 7 Mei.

Tetapi kebangkitan semula UPP daripada ‘kematian’ sementara itu disebabkan tindakan tiga orang Adunnya yang bertanding atas tiket calon langsung BN memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyebabkan Wong  membuat pusingan U.

Tindakan Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnical Rayong (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar) memang memerangkap Wong dan sekutunya. Bagi Wong, ketiga-tiga mereka ini masih lagi ahli UPP kerana UPP mengembalikan keahlian mereka.

Dalam isu ini, adakah hak berundur sebagai ahli di tangan parti atau di tangan ahli parti?

Kini, atas wadah politik mana Wong dan rakan-rakannya akan berjuang? Adakah UPP akan terus menjadi parti mesra BN? Jika itu jalan yang dipilih, pasti masalah lama akan berulang.

Adakah Wong dan ahli-ahli UPP menyertai SUPP?  Jalan ini jalan yang sukar dan perit.

Justeru, kepada pemberita di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri semalam, Wong bertanya kepada presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, sama ada beliau mendapat kebenaran atau mandat daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sebelum membuka pintu parti berkenaan kepada wakil rakyat UPP ke dalam pangkuannya.

“Atau itu sekadar strategi beliau mendapat publisiti?” tanya Wong yang kini Menteri Kewangan Kedua dalam Kabinet baharu Ketua Menteri Tan Sr Adenan Satem.

Sejak perbincangan makan tengah hari yang sepatutnya menjadi rahsia dan tertutup baru-baru ini, tetapi kemudiannya menjadi kontroversi, tidak banyak perkembangan positif yang berlaku.  

Orang tengah bagi perbincangan sesi berkenaan ialah mantan presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan yang gagal mempertahankan kerusi Piasau pada 2011.

Tujuan Dr George Chan, seperti masyarakat Cina yang lain adalah untuk memastikan konflik  berlarutan antara dua parti terbabit dapat dihentikan.

Dengan itu, mereka dapat bergerak ke hadapan bagi memastikan agenda bersama yang diperjuangkan tercapai.

Tetapi dalam keadaan sekarang, lebih banyak pertanyaan daripada jawapan. Kekusutan belum berupaya dileraikan, sebahagiannya kerana darah busuk yang masih mengalir dalam tubuh kedua-dua parti ekoran serangan bertubi-tubi untuk sekian lama. Lukanya amat dalam.

Tafsiran Wong begini;  “Selepas makan tengah hari itu, tidak banyak yang berlaku. Dr Sim tidak punya mandat berbincang dengan kami. Beliau tidak diberi kuasa terutama oleh CWC.”

Disebabkan keadaan itu, dakwa Wong, Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan, hanya bercakap untuk mengundang publisiti melalui media, yang akhirnya menurut beliau tidak baik untuk dirinya sendiri dan juga UPP.

Bagi Wong, apa yang dilakukan oleh Dr Sim itu seolah-olah beliau tidak jujur dalam pelawaannya.

“Ini bermakna mungkin Dr Sim tidak punya kejujuran berbuat demikian,” tegasnya.

“Di satu pihak beliau mempelawa kami menyertai  SUPP, tetapi di pihak lain, jika kami menyertainya, ini mengikut beliau, mungkin menyebabkan parti terbabit dinyah daftar. Ini sama seperti memberitahu, anda tidak perlu menyertai kami, bukan?”

Jadi apakah jalan keluar? Jalan keluarnya bagi Wong, mudah.

Kedua-dua parti terbabit terus bekerja, iaitu  SUPP bekerja dari dalam BN, manakala UPP menjadi parti pro-BN yang berkhidmat untuk rakyat.

“Kami mungkin bersaing atau saling melengkapi dalam BN,” katanya sambil menyatakan bahawa Ketua Menteri telah memberi restu kepada UPP untuk  terus bergerak sebagai parti mesra BN.

Tetapi, bagi rakyat apa kesudahannya?

Penyelesaian muktamad kepada episod ini perlu diambil segera.

Selagi isu ini gagal dileraikan, selagi itu kita akan menyaksikan perkelahian berlarutan. Jangan sampai rakyat muak. – Sarawakvoice.com