Muncul sebagai negara pertama ratifikasi gaji minimum ILO, Malaysia komited basmi kemiskinan tegar

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

(Datuk Seri Richard Riot Jaem yang berucap pada Sidang Pleno Persidangan Buruh Antarabangsa ke-105 di Geneva baru-baru ini)

Datuk-Seri-Richard-Riot-Jaem1Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kepada Mr Guy Ryder, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa di atas laporan komprehensif mengenai “Inisiatif untuk membasmi kemiskinan: Agenda ILO dan 2030”.

Berdasarkan laporan tersebut, izinkan saya untuk berkongsi serba sedikit mengenai kejayaan dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menangani isu kemiskinan.

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, pembasmian kemiskinan telah menjadi agenda penting negara. Saban tahun, falsafah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah berpaksikan kepada kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat. Saya percaya, falsafah ini adalah selari dengan inisiatif ILO untuk membasmi kemiskinan serta agenda pembangunan mampan di bawah United Nation 2020.

Sebagai bukti, Malaysia telah berjaya menghapuskan kemiskinan tegar berdasarkan peratusan kemiskinan yang telah dapat dikurangkan daripada 49.3 peratus kepada 0.6 peratus di antara tahun 1970 sehingga 2014.

Pada hari ini, rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kehidupan, etnik, sosioekonomi dan kedudukan geografi menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

Kerajaan Malaysia telah merangka Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi bagi memastikan elemen mudah terjejas dan kualiti hidup turut diambil kira sebagai pengukuran tambahan kepada pendapatan seperti yang diamalkan di negara-negara membangun.

Dalam konteks ini, pembangunan sumber manusia dan pengurusan akan memainkan peranan penting bagi mempertingkatkan sumber pendapatan dan ekonomi selain turut meningkatkan pendidikan dan tahap kemahiran. Antara polisi yang dirangka oleh Kerajaan termasuklah:

(i) Menambah baik produktiviti buruh dan gaji melalui peralihan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi;

(ii) Mentransformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi permintaan industri;

(iii) Memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran;

(iv) Memperkemaskan jalinan dengan industri dan kerjasama dengan pihak berkepentingan;

(v) Menilai semula polisi gaji minimum untuk meningkatkan tahap kehidupan golongan pekerja berpendapatan rendah; dan

(vi) Meningkatkan sokongan bersepadu keusahawanan terhadap pembangunan dan daya tahan industri mikro dan kecil.

Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada ILO terhadap kerjasama baik diberikan selama ini demi meningkatkan standard amalan perburuhan Malaysia.

Malaysia sentiasa memupuk kerjasama strategik dan mengadakan sesi perundingan berterusan yang melibatkan penyertaan secara tripartisme (pekerja, majikan dan kerajaan) dengan pihak ILO. Antara bidang kerjasama yang telah terjalin sejak beberapa tahun yang lepas termasuklah:

(i) khidmat teknikal mengenai pematuhan terhadap standard perburuhan dalam aspek gaji minimum, buruh paksa, kebebasan berpersatuan, green jobs, pemeriksaan buruh dan semakan berkala terhadap dana Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO);serta

(ii) kajian terhadap memperkenalkan skim insuran penggajian dan meningkatkan servis penggajian di samping pelbagai program bersepadu lain seperti seminar, dialog dan forum.

Dalam tempoh terdekat ini, Malaysia akan meneruskan jalinan kerjasama dengan pihak ILO terutamanya dalam aspek mengkaji dan mentransformasi perundangan perburuhan Malaysia, lanjutan daripada Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPPA).

Saya juga berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk meratifikasikan salah satu Konvensyen Buruh Antarabangsa berhubung gaji minimum iaitu Minimum Wage Fixing Convention, 1970 (No. 131).

Instrumen ratifikasi tersebut telah didepositkan di pejabat Ketua Pengarah ILO dan menjadikan Malaysia negara pertama di kalangan negara anggota ASEAN yang meratifikasikan konvensyen tersebut.

Malaysia akan terus mendukung semangat tripartisme, menyelia dan menggalakkan agenda suasana pekerjaan yang teratur (decent work agenda)

Terbaru