Tuesday, December 6, 2022

Ketua Polis Negara sahkan empat mangsa culik asal Sibu selamat, tiada tebusan dibayar

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan bahawa empat mangsa culik rakyat Malaysia telah dibebaskan oleh penculik mereka, dipercayai daripada kelompok militan Abu Sayyaf semalam.

Menurutnya, keempat-empat mangsa sekarang berada di Sandakan, Sabah untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Wong Teck Kang, 31 tahun, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan  Johny Lau Jung Hien, 21, kesemuanya dari Sibu, Sarawak,  dilaporkan selamat, sihat dan tidak diapa-apakan.

“Selepas pemeriksaan kesihatan, keempat-empat lelaki tersebut akan dibawa ke Kota Kinabalu untuk tujuan dirakamkan percakapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Polis Diraja Malaysia (Kopodims) di sini.

Pada  1 April lalu, keempat-empat mereka yang merupakan krew kapal tunda “Massive 6”,  telah diculik oleh sekumpulan lapan lelaki bertopeng yang lengkap berenjata  di perairan Pulau Ligitan, Semporna, Sabah, sebelum  dilarikan dengan menaiki bot laju dua enjin ke Filipina.

Kejadian berlaku sekitar jam 6.15 malam, sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan itu pada jam 7 malam.

Turut berada di atas kapal tunda tersebut ialah dua krew warga Myanmmar dan dua krew rakyat Indonesia. Bagaimanapun mereka kemudiannya dibebaskan penculik.

Insiden ini menjadi kerisauan seluruh rakyat negara ini selepas peristiwa seorang lagi rakyat Sarawak, Bernard Then Ted Fen yang diculik pada tahun lalu di Sandakan, ketika sedang berada di restoran makanan laut.

Ted Fen bagaimanapun dijumpai mati dengan kepalanya dipenggal, selepas proses rundingan menemui kegagalan selain kubu penculik diserang hendap anggota keselamatan Filipina.

Menurut  Khalid  lagi, setahunya, tiada komitmen dari segi wang tebusan dibayar untuk tujuan pembebasan keempat-empat mangsa  tersebut, sebaliknya ia melalui beberapa siri rundingan dengan pihak penculik. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru