Dr Zaiedi Suhaili dipilih Ahli Dewan Negara yang baharu ganti Dayang Madinah

0
2

KUCHING: Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Dr Zaiedi Suhaili dipilih sebulat suara sebagai Ahli Dewan Negara lantikan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

7d2886b6-ccdd-44ae-b73f-3e99a867911fDr Zaiedi, 60 tahun, dicadangkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perumahan dan Urbanisasi, Datuk Abang Johari Tun Openg, bagi menggantikan Senator Dayang Madinah Tun Openg yang akan tamat tempoh pelantikannya pada 18 Julai depan.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran dan politik, Dr Zaiedi merupakan lulusan sarjana muda Sains Masyarakat daripada Universiti Sains Malaysia sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, secara jarak jauh dari Universiti Camden, Amerika Syarikat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Dr Sulaiman Daud , sekali gus berpengalaman dalam pentadbiran beberapa kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Jabatan Perdana Menteri.

Pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) di Cawangan Satok, Dr Zaiedi kemudian menjawat Ketua Pemuda PBB Cawangan Tupong sebelum menjawat Timbalan Pengerusi PBB Cawangan Tupong hingga kini.

Dr Zaiedi juga pernah menjawat jawatan penting dalam Saberkas dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak.

Beliau dijangka mengangkat sumpah pada 19 Julai depan. – Sarawakvoice.com