Sunday, September 25, 2022

Bakal presiden Filipina mahu bunuh pegawai polis, penjenayah dan pengedar dadah

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte berkata beliau punya cukup wang yang tidak dibelanjakan waktu kempen pilihan raya presiden tempoh hari, dan mahu menggunakannya sebagai ganjaran bagi mereka yang dapat menangkap atau membunuh pengedar dadah di negara itu.

Rodrigo Duterte-0006“Saya punya wang untuk 200 orang. Bunuh semua ketua pengedar dadah berkenaan,” kata Duterte seperti dilaporkan The Philippine Star.

Dianggarkan jika 5 juta peso dibayar untuk 200 pengedar dadah, ini bermakna jumlahnya akan mencecah satu billion peso.

Duterte berjanji untuk membayar antara 50,000 peso hingga 5 juta peso, bergantung pada taraf atau kedudukan pengedar terbabit.  Beliau menegaskan wang untuk ganjaran tersebut datang daripada baki dana yang tidak dibelanjakan tempoh hari.

Beliau mengakui bahawa pada awal kempen 90 hari itu pada 9 Februari lalu, tiada yang menyalurkan dana kepadanya, namun apabila dapatan jejakan pendapat memihak kepadanya, wang mulai mengalir masuk.

Duterte berkata, beliau menolak derma kempen daripada individu tertentu yang difikirkannya mempunyai kepentingan atau agenda terselindung.

“Saya tidak pernah menerima derma daripada mereka,”katanya, sambil menyebut nama taikun berkenaan.  Beliau mengakui akan timbul masalah jika wang yang disalurkan untuk tujuan kempen dikembalikan kepada penderma.

“Jika saya kembalikan wang berkenaan, ini akan memalukan mereka,” katanya, sambil mengakui bahawa kebanyakan penderma berkenaan ialah kawan lamanya.

Ketika berkempen, Duterte berjanji untuk membanteras jenayah dan pengedaran dadah dalam tempoh enam bulan pertama beliau menjadi presiden.

Pada suatu ketika, beliau dilaporkan berjanji untuk membakar Penjara Bilibid Kebangsaan di Mintinlupa yang didakwanya mempunyai ribuan suspek pengedar dadah, tetapi mereka masih menjalankan perniagaan haram walau dari balik tirai besi.

Duterte pada Sabtu mendedahkan mahu tiga orang pegawai polis terbabit dalam pengedaran dadah dibunuh, dan mahu orang ramai membunuh mereka jika mereka melawan balik. Beliau tidak menamakan pegawai polis terbabit, tetapi mahu mereka meletakkan jawatan atau berdepan risiko.

“Sama ada anda masih dalam pasukan polis kerana anda melindungi perniagaan haram dadah, jangan anggap ini sebagai jenaka, saya mahu anda dibunuh,” katanya.

“Saya akan beri anda pingat,” katanya, jika pegawai  berkenaan dibunuh kerana mereka melawan balik.

Duterte berazam untuk menghidupkan balik hukuman mati terhadap penjenayah dan pengedar dadah. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru