Wednesday, June 29, 2022

Ada anggap RM12 juta diberi Adenan untuk sekolah Cina bagai taik manuk

Secara Rawak

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Sesetengah pihak berpendapat bantuan RM12 juta yang diberikan oleh kerajaan negeri Sarawak kepada sekolah Cina, iaitu RM3 juta pada 2014, RM4 juta pada 2015 dan RM5 juta pada 2016 sebagai ‘taik manuk’ saja.

Tujuannya dikatakan untuk meraih undi PRN-11. Hakikatnya, inisiatif  Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem amat bermakna buat Sekolah Bantuan Jenis Kebangsaan Cina di Sarawak.

Bantuan yang dilihat membantu meringankan beban SJK (C) yang selama ini bergantung kepada bantuan daripada ibu bapa serta sumbangan orang ramai.

Kerajaan negeri turut memberikan komitmen terus menghulurkan bantuan malahan Adenan sendiri membidas pihak-pihak yang menyeru supaya sekolah vernakular ditutup sebagai ‘cakap bodoh.’

Apakah masalah dengan pihak-pihak yang melobi sekolah vernakular ini dihapuskan sebenarnya? Atau sekolah vernakular telah dijadikan kambing hitam oleh sesetengah pihak mencapai agenda politik tersembunyi sepertimana tiba-tiba muncul isu haruskah Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Apa yang pengkritik ini tahu tentang sekolah vernakular? Multietnik dan multikultural selama ini merupakan keunikan dan keistimewaan negara Malaysia.

Dasar pendidikan Malaysia menyaksikan kita ada sekolah kebangsaan, sekolah vernakular Cina dan Tamil, sekolah swasta, sekolah antarabangsa, MRSM, dan juga sekolah-sekolah agama.

Perbezaan utama antara sekolah ini ialah bahasa pengantar yang diguna pakai masing-masing.

Takkan perbezaan bahasa pengantar ini yang menjadi punca masalah kurang semangat patriotik dalam kalangan generasi muda. Apatah lagi mahu menyentuh tentang hubungan etnik kerana integrasi kaum dalam kalangan generasi muda jauh lebih baik.

Kita jangan lupa para pelajar ini semuanya menduduki peperiksaan awam sama, iaitu UPSR dan SPM. Pelajar di sekolah vernakular lazimnya mengambil jumlah kertas peperiksaan yang lebih banyak daripada rakan-rakan di sekolah kebangsaan.

Di luar bandar Sabah dan Sarawak, rata-rata pelajar sekolah vernakular terdiri daripada pelajar bumiputera. Ramai juga ibu bapa daripada keluarga Melayu dewasa ini memilih menghantar anak mereka belajar di sekolah vernakular Cina.

Mungkin ramai juga yang tidak menyedari bahawa sekolah vernakular di Malaysia mempunyai sejarah kewujudan yang lebih panjang daripada sejarah pembentukan Malaysia.

Rata-rata generasi lebih tua di Malaysia pada hari ini merupakan produk sekolah Inggeris. Mereka boleh jadi saksi dan mungkin boleh menyumbang sedikit testimonial mereka berkenaan perbezaan sistem pendidikan dulu dan kini.

Tiada maknanya membina sekolah wawasan di kawasan yang feng shui bagus, tetapi tidak praktikal untuk orang ramai menghantar anak-anak mereka ke situ.

Andai kata Putrajaya  mempunyai sekolah baharu yang paling cantik sekalipun tidak mungkin penduduk dari kawasan berdekatan seperti Cyberjaya, Bandar Baru Bangi dan Kajang menghantar anak mereka ke situ, terutam apabila sudah ada sekolah sedia ada yang lebih dekat.

Akhirnya, hanya keluarga yang menetap di dalam kawasan Putrajaya itu sahaja yang menghantar anak mereka ke sana.

Jadi logiknya kebiasaan demografi pelajar di sesebuah sekolah itu berhubung kait secara langsung dengan populasi yang mendiami kawasan berkenaan.

Lainlah sekiranya sekolah berkenaan mempunyai reputasi yang terkenal atau ibu bapa menganggap sekolah itu lebih baik untuk masa depan anak-anak mereka sehinggakan sanggup merentasi Selat Tebrau seawal 4.30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat untuk belajar di Singapura.

Terpulang kepada individu masing-masing untuk menilai kerana yang prejudis atas rasis akhirnya akan tampil juga dengan 1001 alasan untuk mencapai agenda mereka.

Jika saranan tersebut timbul disebabkan oleh keperihatinan terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu pun sebenarnya tidak perlu campur-adukkan perbahasannya dengan penggunaan bahasa lain kerana takkan mereka hendak begitau setelah sekian lama usaha dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta berbilion-bilion ringgit dibelanjakan, mereka gagal?

Tidak lupa juga, sebahagian daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia pun menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pengajaran dan pembelajaran mereka setelah mengambil kira kebolehpasaran graduan mereka.

Apa yang pakar bahasa harus khuatir adalah memikirkan cara mempertahankan bahasa Malaysia diambil alih oleh bahasa Indonesia berikutan trend kecenderungan memilih menggunakan bahasa Indonesia daripada bahasa Malaysia sendiri, misalanya bisnes daripada perniagaan, kolaborasi daripada kerjasama, dan sebagainya.

Meskipun, bahasa Melayu pernah menjadi ‘lingua france’ di rantau ini, hakikatnya bahasa Indonesia dan bahasa Brunei berbeza dengan bahasa Malaysia.

Begitu juga dengan bahasa bombastik yang muncul menerusi chatting dalam media sosial. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru