Sunday, November 27, 2022

Tabung Haji mohon tambahan 10,000 kuota haji Malaysia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Tabung Haji (TH) berkata TH akan meminta bantuan Pejabat Perdana Menteri untuk menghantar surat permohonan kepada Raja Arab Saudi bagi mendapatkan tambahan 10,000 lagi kuota haji pada tahun ini.

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, TH berharap akan mendapat tambahan 10,000 lagi kuota berbanding 5,000 pada tahun lepas.

Beliau berkata, biasanya  memang akan ada penambahan kuota pada saat-saat akhir.

Persahabatan baik antara Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak dengan kerabat Raja Arab Saudi dan hubungan baik antara kedua-dua negara memungkinkan perkara ini berlaku, katanya.

Beliau berkata demikian  pada majlis penyerahan hadiah kepada Johan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan di sini, semalam.

“Seperti tahun lepas, walaupun negara Iran tidak disekat jemaahnya kita tetap mendapat tambahan sebanyak 5,000…pada tahun ini dengan penyekatan Iran, mungkin tambahan kuota akan lebih besar,”

Berkaitan wang pampasan untuk jemaah yang terkorban dan cedera dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram  pada 11 September tahun lepas, Abdul Azeez percaya kerajaan Arab Saudi sedang menguruskannya.

Tragedi itu mengorbankan lebih 100 orang jemaah termasuk tujuh dari Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi dilaporkan  bersetuju memberi wang pampasan SR1 juta kepada keluarga mangsa yang terkorban, cedera teruk dan mengalami kecacatan kekal, manakala SR500,000 bagi mangsa yang cedera ringan.

Beliau memaklumkan TH sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi.

“Kita pun tak boleh terus nak tekan mereka…kita harus bersabar,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru