Mahu ke mana UPP, Wong dan Tiong?

0
1

KUCHING:  Menteri Kewangan Kedua Datuk Sri Wong Soon Koh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong Datuk Tiong Thai King akan terus kekal dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan mengambil pendekatan mesra Barisan Nasional.

Wong, Ahli Dewan Undangan Negeri Bawang Assan, selaku Presiden UPP berkata beliau telah mendapat nasihat daripada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkaitan kedudukannya.

“Ketua Menteri menasihati kami untuk terus berperanan sebagai  parti mesra BN bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk BN dan bekerja untuk BN,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kedudukan Wong dan UPP menjadi tanda tanya apabila Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN)  Datuk Dr Stephen Rundi dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, UPP perlu mengikut jejak langkah Teras, dengan membubarkan parti berkenaan.

Kedudukan Wong dan Tiong, yang juga ADUN Dudong  juga menjadi teka-teka di sebalik langkah tiga orang wakil rakyat UPP yang diterajui Wong memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Wakil rakyat berkenaan ialah Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnical  Rayong (Engklili) dan Ranum Mina (Opar).

“Jika mereka meninggalkan parti, tidak apalah. Kami akan meneruskan perjuangan kami,” kata Wong yang jelas akur dengan hasrat tiga wakil rakyat berkenaan hendak menyertai PBB.

“Sudah tentulah kami mahu meminta mereka kembali, namun  saya juga faham, mereka mungkin rasa lebih selamat dalam keluarga besar seperti PBB,” katanya.

Bagi Jerip terutamanya, beliau telah melompat parti lebih daripada lima kali sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan  rakyat, apa sebenarnya perjuangan beliau.

Namun, Ketua Menteri telah meminta mereka untuk  mendapatkan maklum balas daripada para penyokong dan pengundi di kawasan masing-masing sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan mereka itu.

Tindakan itu diambil di sebalik tekanan daripada parti komponen  BN lain yang tidak mahu PBB menjadi parti dominan.

Jika  parti tulang belakang BN Sarawak itu menerima kesemua  sembilan calon langsung yang menang, bermakna ia akan mempunyai 49  Ahli Dewan Undangan Negeri daripada 82.

Dalam pilihan raya lalu, pembangkang memenangi 10 kerusi; iaitu DAP tujuh dan Parti keadilan rakyat (PKR) tiga.

Sebelum pilihan raya 7 Mei,  mereka telah disyaratkan keluar dari UPP sebelum boleh bertanding atas tiket  BN sebagai calon langsung.

Dalam pilihan raya itu, terdapat 13 orang calon langsung.

Wong meminta supaya 30,000 ahli UPP terus bertenang dan dapat berperanan sebagai sebuah parti dalam satu keluarga besar BN, selain memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

UPP kini mempunyai 26 cawangan di seluruh Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menasihati ahli-ahli UPP supaya terus merekrut lebih ramai ahli bagi mengukuhkan  kedudukan UPP. – Sarawakvoice.com