Jangan fikir ahli PAS lebih Islam daripada orang Sarawak

0
31

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, PAS bertanding di 5 kerusi, berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) 49 kerusi, DAP 15, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 25, dan Parti Cinta Malaysia, 6 kerusi. Namun, PAS  kalah semua kerusi meskipun hampir bersorak gembira di Beting Maru apabila Parti Pesaka Bumiputera (PBB) hanya menang dengan majoriti 391 undi.

Dalam pilihan raya ke-11 lalu, PAS bertanding di 11 kerusi.  Peningkatan jumlah kerusi ditandinginya bukan sahaja membayangkan keyakinan parti Islam itu terhadap sokongan  rakyat Sarawak, tetapi selari dengan peningkatan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kepada 82, ekoran proses persempadanan semula baru-baru ini.

Seperti dalam pilihan raya negeri ke-10, kali ini PAS turut meletakkan impian untuk mendapatkan ‘anak sulung’ di Sarawak.

Namun, PAS kecundang. Semua calonnya tewas.  PAS terlalu kecewa, malah merana. PAS tidak dapat terima hakikat itu kerana parti Islam pimpinan Datuk Seri Hadi Awang berangan-angan besar hendak menang untuk pertama kali. Namun, segalanya hancur musnah.

Ada pemimpin PAS yang amat kecewa kerana pengundi dan rakyat Sarawak tidak menyokong parti berkenaan, lalu melabelkan orang Sarawak tidak ikut ajaran Islam sebenar.  PAS seperti biasa mudah melabel orang lain kurang Islam. Semuanya, kerana tidak undi PAS.

Realitinya PAS belum punya kekuatan dan pengaruh dalam kalangan  rakyat di Sarawak. PAS masih lemah dari segi kepemimpinan dan jentera akar umbi, dan ini diburukkan dengan imej dan reputasinya sebagai parti ékstrem’, dengan perjuangan dan ideologi yang tidak serasi dengan demografi penduduk pelbagai etnik, agama, dan budaya di Sarawak.

Persepsi rakyat Sarawak terhadap parti itu, kurang positif, apatah lagi dengan keazamannya untuk memperkenalkan hudud. Jika hendak ambil hati pengundi Sarawak, PAS perlu gunakan cara yang betul. Bukannya dengan mengina, memperlekeh dan memandang rendah orang lain. Jangan anggap hanya pemimpin dan ahli PAS saja lebih Islam daripada orang lain.

pas kangsar_0001

Jadi,  bagi pemimpin PAS kalaupun tidak menang, jangan cuba perlekeh rakyat Sarawak, dengan menyatakan bahawa mereka tidak ikut ajaran Islam sebenar. Implikasinya, hanya orang PAS saja Islam dan ikut ajaran islam tulen.

Kalau beginilah gaya PAS, bagaimana ia hendak dapat sokongan orang Sarawak. Percayalah, jika pendekatan ini digunakan, PAS pasti akan terus tidak mendapat sokongan.

Para pemimpin PAS tidak boleh anggap diri mereka sahaja lebih Islam daripada orang lain. Atau anggap orang PAS lebih Islam daripada orang Islam di Sarawak.

Bagi PAS, walaupun  tidak menang di kelima-lima kerusi yang ditandingi sebelum ini,  namun sokongan yang diperlihatkan pengundi Sarawak menunjukkan parti itu mula diterima. Namun, dalam kalangan pembangkang, ia hanya meraih 1.44 peratus undi keseluruhan, berbanding DAP 20.05 peratus, PKR 17.41 peratus, dan SNAP 2.33 peratus.

Dari segi undi popular, BN meraih 55.36 peratus, manakala pakatan pembangkang 41.23 peratus.  Parti itu yakin dengan penerusan gerak kerja mengembangkan pengaruhnya di Sarawak, apatah lagi dengan ada negeri yang ambil inisiatif  mengangkat DUN tertentu.

Pada pilihan raya 7 Mei, PAS bertanding di  Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maru. Berdasarkan kerusi yang ditandingi, jelaslah bahawa PAS hanya berani bertanding di kawasan Melayu.

PAS tidak yakin bertanding di kawasan majoriti bukan Islam, kerana menyedari bahawa pengundi terbabit pasti menolak parti berkenaan.

Hakikatnya, selagi  PAS bertanding di kerusi PBB, selagi itulah peluangnya suram. PAS hanya berangan-angan besar untuk menang di kawasan berkenaan.

Tidak dinafikan, PAS sejak bertapak di Sarawak pada 1996 dan bertanding sejak 2011 telah berjaya menambahkan jumlah cawangan dan ahlinya, malah dalam pilihan raya lalu, meningkatkan sokongan di beberapa kawasan.

Dalam usaha untuk mengembangkan pengaruhnya, ia melancarkan pelbagai program bersifat kebajikan, kemasyarakatan dan dakwah, namun semua itu belum memadai untuk memungkinkannya memenangi sebarang kerusi.  Masalah utama PAS terletak kepada imej dan perjuangannya yang tidak serasi dengan komposisi penduduk di Sarawak.

Perjalanan dan perjuangan PAS masih terlalu jauh untuk benar-benar meninggalkan kesan yang bermakna dalam kalangan pengundi Sarawak. Kalau PAS gunakan pendekatan menghina dan memandang rendah pengundi Sarawak, parti Islam itu tidak akan mampu memenangi kerusi. – Sarawakvoice.com