Monday, November 28, 2022

Sidang DUN Sarawak bermula esok 29 muka baharu angkat sumpah

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 29 Ahli Dewan Undangan Negeri akan membuat penampilan sulung dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bermula pada esok hingga 15 Jun depan.

asfiaSpeaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, persidangan akan dimulakan dengan majlis angkat sumpah 82 ADUN yang terlibat, diikuti dengan amanat Yang di-Pertua Negeri pada 8 Jun sebelum majlis perbahasan yang akan berlangsung selama dua hari.

“Ia akan menjadikan DUN kita terus berprestij kerana selain menjadi yang tertua di negara ini, ia akan memiliki perwakilan terbesar, 82 orang, yang hampir menyamai Dewan Rakyat yang memiliki 222 kerusi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sejurus selepas mesyuarat prasidang ADUN Barisan Nasional petang semalam.

Menyentuh tentang nasihat beliau kepada kalangan “Yang Berhormat” baharu ini, Asfia menegaskan bahawa mereka perlu mengikuti adab dan tatasusila dewan yang mulia.

“Saya nasihatkan mereka menjaga kod berpakaian serta ketika berbahas hendaklah tertib dan memanggil wakil-wakil rakyat lain berdasarkan kawasan dan bukannya nama.

Menurutnya, dalam sidang DUN yang julung kali dalam sejarah diadakan pada bulan Ramadan ini, hanya satu Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Pembekalan (2015) 2016 oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh.

Menurut Asfia, sebanyak 239 soalan lisan pula akan dikemukakan oleh 42 ADUN dengan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan menerima 41 soalan diikuti Kementerian Kerajaan Tempatan (40),  Kementerian Kemudahan  Awam (36) dan Pejabat Ketua Menteri (35).

“Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar pula menerima 26 soalan,  Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti (23), Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar (22), Kementerian Belia, Sukan dan Solidaritii (13),  Kementerian Perumahan dan Urbanisasi (11),  Kementerian Pembangunan Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan (10), Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (7) dan  Kementerian Kewangan (5). “

Menurut Asfia lagi, sebanyak 65 jawapan bertulis telah dikemukakan oleh 9 wakil rakyat dengan Pejabat Ketua Menteri mencatatkan jumlah tertinggi dengan 21 soalan.

Menurutnya, sebanyak tiga usul telah dikemukakan kepada Setiausaha DUN untuk dibentangkan pada persidangan kali ini. Antara usul tersebut termasuklah menggesa Kerajaan Negeri untuk menangani masalah mitigasi yang menjadi punca kepada banjir kilat di bandar raya Kuching.

Asfia berkata, kerana masa yang begitu singkat, beliau akan memberi lebih ruang dan peluang kepada muka-muka baharu bagi membuat ucapan sulung dalam DUN kali ini, sebelum membuka pintu kepada wakil rakyat veteran.

“Saya terpaksa bertegas kerana tempoh perbahasan yang begitu singkat iaitu selama dua hari, sedangkan kita mempunyai 82 ADUN dengan 29 daripadanya adalah muka baharu.

Menjawab soalan wartawan, Asfia bersetuju bahawa kadar kekerapan persidangan kini perlu diperbanyak.

“Saya akan mencadangkan kepada kabinet tetapi tertakluk kepada keputusan mereka untuk menerimanya,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru