Wednesday, August 17, 2022

Lebuh Raya Pan Borneo: Projek berjalan lancar, hadapi cabaran tuntutan tanah di Bintulu

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam memberitahu pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo kini berjalan lancar, dengan pencapaian prestasi secara umum adalah sekitar lima peratus.

Pun begitu menurutnya, terdapat sedikit masalah berkaitan isu pengambilan tanah, yang berlaku di Bintulu, namun beliau optimis, isu tersebut yang menyebabkan beberapa kawasan projek tergendala akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Saya percaya ia akan dapat diselesaikan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei dengan kadar segera,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu semalam.

Fadillah menjelaskan, masalah tuntutan tanah ini boleh berlaku pada bila-bila masa waima ketika projek sedang berjalan, kerana nama si penuntut tidak wujud sewaktu survei awal dilaksanakan.

“Kita tidak menganggap ini sebagai masalah tetapi sebagai cabaran yang perlu ditangani,” katanya.

Berkaitan dengan kerancakan projek yang sedang berlangsung, Fadillah menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati—hati ketika menggunakan laluan berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

“Kerja-kerja merata tanah, pelebaran jalan dan penukaran laluan sedang dilaksanakan dan oleh itu saya mohon kepada pengguna jalan raya agar sentiasa mengikuti arahan papan-papan tanda yang disediakan.”

Katanya, biarpun projek ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, degan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pelaksananya, namun Jabatan Kerja Raya merupakan badan pemantau dan pemeriksa.

“Sehubungan itu kita mengalu-alukan sebarang cadangan daripada orang ramai jika ada cadangan untuk melakukan penambahbaikan terhadap projek ini,” katanya.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang menelan kos RM27 bilion melibatkan laluan sepanjang 1,076km. Laluan dari Sematan ke Miri sejauh 740km yang mula dilaksanakan awal tahun ini dijangka siap pada tahun 2023 manakala laluan dari Miri ke Merapok sejauh 96km dijangka bermula pada tahun 2018 dan siap pada tahun 2023. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru