Monday, August 8, 2022

Bermusuh dengan media, Duterte henti jumpa wartawan elak salah tafsir

Secara Rawak

DAVAO CITY, FILIPINA: Pembantu Presiden Filipina yang baharu, Rodrigo Duterte memberitahu,­­­­ ketuanya akan menangguhkan sebarang pertemuan dengan media untuk sementara waktu bagi mengelakkan wujudnya lebih banyak kesilapan, selepas kenyataan terakhirnya mengundang kontroversi di seluruh dunia.

duterte_for_ann5Selepas membuat kenyataan meminta para wartawan di Manila supaya meninggalkan bandar tersebut, Presiden yang bermulut lancang itu enggan mengaku salah dan meminta maaf atas keterlanjurannya.

Sebaliknya dengan ego memberitahu beliau tidak akan mengadakan sebarang sidang media, selepas ini.

“Sebarang pemakluman akan menggunakan saluran rasmi penyiar negara,” kata pembantu eksekutif Duterte, Christopher Go.

Katanya, Duterte akan memanfaatkan stesen televisyen milik kerajaan PTV 4 untuk siaran medianya dan melaksanakan sebarang wawancara.

Pada minggu ini, Duterte terpaksa membuat penjelasan berhubung kenyataan beliau dalam taklimat media khas sekurang-kurangnya dua kali selepas dikecam secara meluas.

Pertama, berhubung kenyataan beliau mengenai pembunuhan wartawan rasuah, yang menjadi tajuk utama dunia dan mendapat kritikan meluas media antarabangsa; yang kemudian beliau dakwa kononnya telah “disalah petik” dan “disalah tafsir.”

Memetik satu contoh yang melibatkan seorang wartawan yang dibunuh pada tahun 2003, Duterte berkata: “ Walaupun anda adalah seorang wartawan, anda tidak dikecualikan daripada dibunuh jika anda seorang yang bedebah.”

Ketika menjelaskan usikannya terhadap wartawan penyiaran Mariz Umali yang dilhat sebagai tidak senonoh dan berbaur seksual, ia merupakan reaksi spontan terhadap soalan Umali terhadap kabinetnya.

Duterte berharap kebebasan diberikan dan beliau tidak dikekang untuk meluahkan pandangan ketika melakukan usikan yang menyebabkan suami Umali, wartawan Raffy Tima melenting dan mengutuk Presiden itu di laman Twitter.

Pada malam Khamis lalu, beliau menjelaskan bahawa dalam apa yang sepatutnya menjadi taklimat media terakhirnya, Presiden pilihan rakyat Filipina itu langsung tidak terasa tercabar mahupun terganggu dengan tindakan media memboikot beliau.

“Saya tidak mahu publisiti … anda tahu bahawa saya tidak perlu itu. Jadi adalah yang terbaik jika ia lenyap begitu sahaja.

“Silalah boikot saya. Ia akan menjadikan perjalanan ke Davao City ini sebagai kembara terakhir anda. Saya tidak peduli jika tiada siapa yang membuat liputan tentang saya,” luahnya.

Terdahulu dalam satu majlis berlainan, dengan nada geram Duterte menjawab provokasi wartawan: “ Saya cabar anda. Bunuhkan bidang kewartawanan. Hentikan kewartawanan di negara ini. Kerana nilai(nya rendah) seperti garam. Jika tidak, saya akan sentiasa pandang rendah terhadap awak dan awak akan dilihat sebagai pengecut.

Duterte kemudian menjelaskan kenyataannya bermaksud beliau tidak dapat menahan wartawan yang mahu memembuat liputan mengenainya, dan maksud “membunuh kewartawanan” itu lebih kepada beliau tidak mahu terganggu jika media berhenti membuat liputan mengenainya di bandar raya yang diwakilinya.

Filipina sememangnya terkenal dengan Presiden dan calon Presiden yang mempunyai perwatakan berwarna-warni. Dalam konteks Duterte, baru-baru ini beliau memberitahu akan menghidupkan kembali tuntutan terhadap Sabah; satu kenyataan yang dilihat boleh mendatangkan implikasi diplomasi pada masa akan datang dengan negara jirannya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru