Yang miskin pun boleh berjaya, tak perlu kenal orang, kata Tan Sri Abdul Wahid

0
9

KUCHING: Untuk berjaya dalam hidup dan kerjaya, seseorang tidak perlu kenal orang, sebaliknya perlu diberi peluang, berusaha gigih, dan memperlihatkan prestasi cemerlang.

maxresdefault (4)Itulah kepercayaan Tan Sri Abdul Wahid Omar, 52, bagaimana rakyat negara ini, tanpa mengira latar belakang keluarga, dapat melakar nasib mereka.

“Ramai orang memperkatakan perlu kenal orang untuk berjaya, saya tidak fikir begitu. Saya tidak mengenali sesiapa pun,” katanya.

Abdul Wahid dilantik sebagai Menteri di

Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi pada 5 Jun 2013.

Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal pertama pada tarikh sama.

Tempoh perkhidmatan beliau sebagai Senator tamat pada 4 Jun.

Beliau merupakan antara dua teknokrat yang dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam barisan Kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum 2013.

Seorang lagi ialah Datuk Paul Low, daripada Transparency International dan mantan pengerusi Persekutuan Pekilang Malaysia.

Abdul Wahid menerajui Maybank sejak 1 Mei 2008, menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank itu berkata, untuk meningkat naik dalam kerjaya, termasuk dalam bidang korporat, prestasi cemerlang adalah amat penting.

Sehubungan itu, baginya, sistem di negara kita membolehkan sesiapa sahaja daripada keluarga kurang bernasib baik untuk cemerlang dalam pelajaran dan mendapatkan pendidikan yang baik.

Katanya, sebaik sahaja seseorang memasuki dunia pekerjaan, ia diberi peluang, jadi terpulang kepada individu berkenaan untuk mengambil peluang berkenaan.

“Apa yang pasti buat yang terbaik,” katanya.

Beliau menasihati kalau hendak berjaya dalam dunia pekerjaan, perlu fokus kepada kerja, dan laksanakan tugas dengan sebaiknya.

Dengan itu, katanya, “Nasihat saya ialah fokus kepada kerja, jika anda melaksanakan tugas dengan sebaiknya, anda tidak akan mudah terganggu, anda sebenarnya berjaya melakukan tugas yang diamanahkan, dan dengan itu anda akan  diiktiraf, bukan sahaja oleh ketua anda tetapi oleh pesaing anda dan reputasi anda akan meningkat.”

Beliau berkata demikian dalam temu bual  yang disiarkan Berita Minggu, hari ini

Abdul Wahid mengakui betapa perlunya peluang diberi kepada semua orang untuk berjaya, dan beliau menyifatkan dasar kerajaan negara ini adalah inklusif dan membantu semua orang untuk berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran supaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi.

Beliau yang juga pernah menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, mengakui sistem yang ada kini mengambil kira jurang yang ada dalam masyarakat, antara yang miskin dan susah, dan antara  yang kaya dan senang.

Dalam kes beliau, Abdul Wahid mengakui datang daripada keluarga susah, dan tidak mempunyai banyak peluang untuk bercakap bahasa Inggeris, jadi apabila sampai peperiksaan Darjah Lima, beliau mendapat empat A dan 1C, dan mata pelajaran yang mendapat C tentunya bahasa Inggeris.

Namun,  anak kelahiran Johor Bahru itu, berpeluang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dengan guru yang penuh dedikasi dan persekitaran yang kondusif, membolehkan beliau mendapat A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – Sarawakvoice.com