UPP tidak boleh dibenarkan terus hidup di Sarawak

0
3

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu (UPP) boleh dikatakan sekejap ada sekejap tidak ada, seperti iklan sebuah produk dalam pasaran suatu ketika dahulu.

Parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu ditubuhkan oleh Datuk Sri Wong Soon Koh sekitar dua tahun lalu selepas berdepan masalah dengan parti asal.

Wong dengan beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebenarnya terlebih dahulu menyertai Teras bersama-sama Tan Sri William Mawan, seorang lagi pemimpin yang telah keluar daripada sebuah parti komponen Barisan Nasional, Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Tetapi sehingga hari ini, tidak pula diketahui, apa sebabnya Wong menyertai Teras, dan kemudiannya hanya beberapa bulan, keluar daripada parti itu untuk menubuhkan parti baharu?

Adakah kerana baru menyedari bahawa Teras parti majoriti Dayak? Atau beliau beranggapan tidak sesuai untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina melalui parti berkenaan?

Jadi, apabila selepas pilihan raya 7 Mei, Wong mengatakan bahawa UPP masih wujud, maka orang ramai keliru.

Betapa tidak, sebelum pilihan raya negeri ke-11, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menetapkan sebagai syarat calon langsung, Wong dan rakan-rakannya perlu keluar daripada UPP.

Malah, semua pihak tahu UPP dibubarkan, sama seperti Teras.

Pengumuman mengejutkan itu adalah sebagai tindak balas tiga orang ADUN yang mengumumkan bahawa mereka menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Dr Johnical Rayong (Engkilili) dan Ranum Mina (Opar).

Pengumuman mereka itu tidak diterima baik oleh Wong dan rakan-rakan lain dalam UPP, kerana hakikatnya wakil rakyat berkenaan telah pun dibantu oleh UPP sepanjang dua tahun lalu dari pelbagai segi, malah dicalonkan untuk mewakili parti berkenaan sebagai calon langsung.

Pengundi dan rakyat bertanya, inikah permainan politik wakil rakyat berkenaan? Siapa lebih diutamakan, survival mereka atau rakyat? Mereka boleh buat keputusan sesuka hati. Boleh lompat parti kalau boleh lima enam atau tujuh kali atas nama kepentingan rakyat walhal, semua itu adalah atas kepentingan survival politik diri.

Apakah pemimpin politik boleh buat sesuka hati? Justeru, bolehkah dibenarkan UPP untuk terus bergerak aktif?

Atau UPP perlu dimatikan agar tidak terus menimbulkan masalah dalam BN dan politik Sarawak?

Apakah kata Pendaftar Pertubuhan? Implikasi besar adalah, adakah mungkin UPP dapat terus bergerak sebagai parti mesra BN? Bagaimana pula dengan kedudukan Wong?

Hakikatnya, BN Sarawak tidak boleh terus membiarkan parti mesra ini wujud kerana masalah yang sama, seperti yang berlaku sebelum pilihan raya negeri, akan terus berulang pada masa depan.

Justeru, kalau ikut Setiausaha Agung BN Dr Stephen Rundi Utom semalam, UPP perlu dibubarkan, sama seperti Teras.

Maksudnya, Wong sebagai presidennya yang juga ADUN Bawang Assan, serta Datuk Tiong Thai King sebagai Naib Presiden Kanan, yang juga ADUN Dudong perlu akur kepada BN.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Teh Sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Serian, semalam.

Untuk itu, beliau berkata, memadai empat parti komponen sedia ada dalam BN, dan tidak mungkin dibenarkan untuk diwujudkan parti baharu.

Kini, parti komponen BN negeri terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), SUPP dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Hasrat sembilan orang ADUN untuk menyertai parti tulang belakang BN telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin parti politik lain.

Mereka beranggapan, PBB akan menjadi begitu dominan dan ini tidak baik dari segi keharmonian dan kestabilan politik Sarawak untuk jangka panjang.

PBB memenangi 40 daripada 82 kerusi dalam pilihan raya negeri, PRS 11, SUPP 7, SPDP 3 kerusi.

Jika sembilan orang ADUN calon langsung diterima menyertai PBB, termasuk tiga calon langsung yang dikaitkan dengan parti terbabit, bermakna PBB akan mempunyai 49 daripada 82 wakil rakyat. – Sarawakvoice.com