UPP mahu bermesra dengan 9 wakil rakyat tanpa parti

0
2

KUCHING: Apa sebenarnya permainan Parti Rakyat Bersatu (UPP)?

Sesudah bersetuju untuk akur kepada syarat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menjelang pilihan raya 7 Mei lalu, kini parti termuda Sarawak itu, mahu terus menganggap dirinya sebagai mesra Barisan Nasional (BN) dan BN Plus ketika pemimpin BN mahu parti pimpinan Datuk Sri Wong Soon Koh itu dibubarkan.

Bagi pemerhati politik, selagi parti berkenaan wujud, selagi itulah masalah intrig dan krisis akan berlarutan.

UPP merupakan parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ekoran krisis kepemimpinan yang melanda parti tertua yang ditubuhkan pada 1959 itu.

Teras, parti serpihan SPDP telah bersetuju dibubarkan.

BN Sarawak kini terdiri daripada  Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),  Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Setiausaha Agung UPP George Lo berkata, UPP bersedia menerima sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri ke pangkuan parti berkenaan.

Katanya: “Kami mengalu-alukan semua sembilan wakil rakyat langsung BN jika mereka memerlukan jentera parti kami sebagai platform untuk menabur bakti di kawasan masing-masing.”

Dalam pilihan raya lalu, BN telah mengemukakan 13 calon langsung, dan sembilan orang menang.

Mereka kini merupakan wakil rakyat tanpa parti, tetapi dalam beberapa minggu ini, mereka menyatakan hasrat menyertai PBB, sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti komponen lain.

Jika semua mereka diterima, bermaksud PBB akan mempunyai 49 orang wakil rakyat. – Sarawakvoice.com