KUCHING:  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kini mula menggerakkan segala elemennya bagi melaksanakan kerja-kerja asas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan penggal sekarang akan tamat tempoh pada tahun 2018.

Presidennya, Datuk Dr Sim Kui Hian semalam membayangkan bahawa enam daripada tujuh kerusi parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu  secara tradisi akan menyaksikan kemunculan muka-muka baru.

“Kami berharap untuk melihat lebih banyak golongan muda daripada SUPP bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Oleh itu, kita terpaksa membina asas daripada sekarang,” katanya pada majlis menaikkan bendera parti sempena ulang tahun ke-57 parti itu.

supp pru14-0003

Enam kerusi yang dimaksudkan termasuklah Parlimen Kuching, Sibu, Stampin, Miri, Sarikei dan Lanang. SUPP kecundang di kesemua kerusi tersebut pada pilihan raya Parlimen 2013.

SUPP kini hanya memiliki satu kerusi iaitu Parlimen Serian yang disandang Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem.

“Saya telah berbincang perkara ini dengan Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) dan kami telah bersetuju untuk memberi peluang kepada lebih ramai calon muda yang bertenaga sebagai calon berpotensi,” katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan itu turut menggesa ahli-ahli yang lebih muda untuk mula bekerja keras bagi memperoleh pencalonan mereka dan tidak berusaha hanya selepas dicalonkan.

Dr Sim turut mengingatkan wakil rakyat dan ahli-ahli parti itu  untuk tidak mensia-siakan peluang mereka untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.

“Kita jadikan tempoh ini untuk mengulangi era keemasan SUPP. Walaupun pilihan raya negeri akan berakhir, kempen kami tidak akan berhenti di sini dan perlu bekerja lebih keras untuk rakyat Sarawak,” katanya.

“Kami berusaha untuk memperbaiki diri dan tidak cukup dengan hanya membuka lembaran baru,” tambahnya.

Sedar bahawa masyarakat Cina masih berpecah, Dr Sim berkata, perkara-perkara yang kritikal dan isu-isu tertunggak masih perlu ditangani.

“Kami harus menghembus nafas baru dan bangkit semula. Adalah penting untuk kita kembali kepada tujuan asal parti dan ia adalah untuk rakyat … kita kembali kepada rakyat, tegasnya.

“Gunakan peluang kali ini seperti untuk bergerak ke hadapan dan membina semula kekuatan.

“Ini adalah kempimpinan baharu SUPP dan kami akan terus bergerak ke hadapan mengulangi sejarah dan perjuangan 57 tahun lampau,” katanya lagi.

SUPP merupakan parti politik tertua di Sarawak. Meski bercorak pelbagai kaum tetapi majoriti ahlinya terdiri daripada masyarakat Cina..

Parti ini berubah dari sayap kiri, anti–Malaysia ke sebuah parti politik komponen yang kukuh di bawah Barisan Nasional tanpa melepaskan sokongan kaum Cina Sarawak. SUPP, merupakan parti politik komponen yang kedua terbesar Barisan Nasional di Sarawak. – Sarawakvoice.com