Tuesday, December 6, 2022

SUPP dapat suntikan semangat, mahu tampilkan muka baharu dalam PRU Ke-14

Secara Rawak

KUCHING: Mendapat suntikan semangat daripada kemenangan dalam pilihan raya negeri, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), mahu terus memastikan meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Untuk itu, ia memastikan kesiapsiagaan lebih awal.

Strategi ampuh, antaranya adalah dengan menampilkan muka baharu.

Menurut presiden Datuk Dr Sim Kui Hian, SUPP akan mengemukakan enam muka baharu bagi tujuh kerusi yang biasanya diserahkan kepada parti tertua Sarawak itu dalam pilihan raya nanti.

PRU dijangka seawalnya diadakan pada akhir tahun depan dan sebelum Mei 2018.

Kata Dr Sim: “SUPP harap dapat mengemukakan lebih banyak muka baharu dalam pilihan raya nanti, justeru mereka perlu buat persiapan lebih awal,” katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan berkata demikian dalam majlis menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-57 SUPP di sini, semalam.

13305255_279932075675005_2856564967228633005_o

SUPP merupakan parti pertama ditubuhkan pada 1957 sebagai persediaan kemerdekaan Sarawak.

Tujuh kerusi yang ditandingi SUPP pada 2013 ialah Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sibu, Lanang, Sarikei, dan Miri.

Hanya Serian dimenanginya,  kerusi majoriti Bidayuh, melalui Datuk Richard Riot. Richard ialah Menteri Sumber Manusia.

Dr Sim berkata, SUPP perlu berusaha gigih untuk memastikan kemenangan dalam PRU nanti.

“Saya menggesa calon berpotensi bekerja dari sekarang, mereka tak perlu tunggu dicalonkan, kerana anda perlu berusaha dapatkan pencalonan. Sebab anda tidak dicalonkan dulu baru hendak bekerja. Sebaliknya, anda perlu bekerja terlebih dahulu, baru dicalonkan,” tegasnya.

Namun, kata beliau, jangan pula selepas dicalonkan, individu terbabit tidak bekerja.

“Berusahalah dengan gigih untuk memastikan anda dicalonkan,” tambahnya.

Pada pilihan raya 7 Mei, SUPP memenangi tujuh daripada 13 kerusi ditandinginya, serta berjaya merampas lima kerusi daripada DAP. Dr Sim memenangi kerusi Batu Kawah.

Bagi Dr Sim walaupun pilihan raya sudah berlalu, kempen tidak akan berakhir, kerana SUPP akan terus bekerja kuat bagi memastikan ia mendapat sokongan daripada pengundi dan rakyat.

SUPP di bawah kepemimpinan Dr Sim telah melakukan penjenamaan dan transformasi dari banyak segi.

Dr Sim menyedari hakikat bahawa penting bagi parti berkenaan untuk memahami aspirasi masyarakat Cina, justeru ia mahu terus memperbaiki diri, dan bukan sekadar mengubah dirinya menjadi parti yang dapat diterima rakyat.

Bagi beliau, SUPP perlu terus diremajakan dan bangkitkan semula. “Amat penting bagi kita terus memahami perjuangan parti. Parti ini adalah untuk rakyat, kita perlu kembali kepada rakyat,” katanya.

Katanya: “SUPP perlu terus bergerak ke hadapan dan mengambil iktibar daripada sejarah 57 tahun sejarah dan perjuangannya.”

Katanya, SUPP mahu mengukuhkan kekuatannya setiap masa kerana ingin memastikan ia dapat terus diterima rakyat bagi membolehkannya memberi perkhidmatan terbaik.

Dr Sim berkata, pengundi telah memberi peluang kepada SUPP untuk bangkit semula, maka peluang itu tidak harus disia-siakan, sehingga akhirnya boleh menyebabkan mereka kecewa.

Menyedari bahawa satu daripada isu ialah berkaitan perpaduan dalam kalangan masyarakat Cina ekoran perkembangan politik membabitkan SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), maka, beliau mahu memastikan isu berkenaan ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan masalah lebih serius. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru