KOTA SAMARAHAN: Tindakan para peniaga membuka gerai di tepi jalan utama di luar Kampus Timur Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah menimbulkan masalah kepada para pengguna jalan raya di laluan berkenaan.
“Macam tiada tempat lagi di dunia ini untuk mereka ini berniaga,” rungut seorang penduduk yang melalui jalan raya berkenaan setiap hari.
Menurut lelaki berkenaan yang enggan dikutip namanya, para peniaga terbabit yang membuka gerai di tepi jalan raya berdekatan jejantas menuju ke kampus Unimas itu telah menjadikan laluan itu sesak pada waktu tertentu, dan menyukarkan para pengguna jalan raya terbabit.
Jejantas berkenaan baru siap beberapa minggu lalu bagi menyediakan kemudahan kepada pelajar Unimas kerana sebelum ini berlaku kejadian kemalangan membabitkan golongan pelajar terbabit.
Keadaan ini, katanya, telah pun berlaku untuk beberapa lama, dan pihak berkuasa tempatan bagai tidak mempedulikannya.
Katanya, kereta yang lalu di situ berhenti untuk membeli hasil jualan para peniaga berkenaan.
Bagi memastikan laluan berdekatan tidak dihalang dan menimbulkan kesesakan, beliau mahu Majlis Daerah Samarahan (MDS) mengambil tindakan yang wajar.
Menurutnya, MDS sama ada meminta mereka berhenti daripada berjualan di situ atau menyediakan tempat sesuai untuk golongan terbabit. – Sarawakvoice.com