Thursday, May 19, 2022

SUPP bantah keras penguasaan dominan PBB

Secara Rawak

MIRI:  Perkembangan politik semasa selepas pilihan raya negeri ke-11 mendapat perhatian bukan sahaja daripada rakyat, tetapi juga pemimpin politik.

Tindakan beberapa orang wakil rakyat yang menang atas tiket calon langsung pada 7 Mei untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menggembirakan parti komponen Barisan Nasional.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak bersetuju , malah membantah keras jika mana-mana parti komponen BN menjadi terlalu dominan sehingga menjejaskan keseimbangan yang telah menjadi tradisi dan amalan selama ini.

SUPP dalam kenyataan melalui Setiausaha Penerangan dan Publisiti Pusat menolak langkah berkenaan.

Dalam pilihan raya awal bulan lalu, PBB memenangi kesemua 40 kerusi ditandinginya. Tiga calon langsung memohon menyertai parti tulang belakang BN, sementara tiga lagi daripada SPDP dan UPP juga turut berbuat demikian, sekali gus melonjakkan jumlah wakil rakyat dalam parti terbabit kepada 49.

Kini Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempunyai 11 wakil rakyat, manakala SUPP tujuh, dan SPDP tiga.

Kenyataan itu berkata bahawa ia sentiasa tidak bersetuju mana-mana pihak menguasai secara dominan politik di negeri ini.

Sebaliknya, kata kenyataan oleh Adam Yii itu: “SUPP telah dan sentiasa mengekalkan pendiriannya pentingnya mengamalkan hak yang saksama dan adil untuk rakyat berbilang kaum.”

Justeru, katanya, parti itu menegaskan, berkaitan  sembilan calon langsung yang kini ingin menyertai PBB, SUPP telah memberi peringatan keras langkah yang akan diambil oleh PBB dalam isu berkaitan.

Keputusan tentang permohonan wakil terbabit hanya akan di diputuskan oleh Majlis Tertinggi PBB dalam waktu terdekat. Namun, menurut penganalisis politik, kemungkinan besar, mereka diterima masuk sebagai ahli.

Bagi parti tertua yang ditubuhkan pada 1959 itu, SUPP akan mengikuti perkembangan berkenaan kerana sebarang keputusan akan memberi kesan yang mendalam terhadap masa depan politik Sarawak.

Malah, parti terbabit, sejak sebelum pilihan raya lalu, tidak bersetuju dengan kaedah calon langsung yang digunakan pakai.

BN telah menampilkan 11 calon langsung, dan sebelum mereka dapat menggunakan lambang dacing, calon terbabit dari Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Teras telah diminta keluar dari parti berkenaan.

Bagi SUPP, calon langsung berkenaan perlu kembali ke pangkuan parti asal, iaitu SUPP dan SPDP untuk memastikan tidak berlaku sesebuah parti politik menjadi begitu dominan, bagi memastikan wujudkan keseimbangan dan keharmonian politik di Sarawak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru