Sunday, August 14, 2022

Abang Johari gerakkan usaha pulihara khazanah bawah air di kawasan bangkai kapal perang Jepun

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan menggerakkan usaha melindungi dan memulihara tapak warisan bawah air yang ada di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu akan dilakukan secara bersama oleh kementeriannya, dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kedutaan Jepun .

“Ia penting kerana bangkai kapal perang Jepun yang popular dalam kalangan kaki pancing ini berhadapan ancaman kecurian oleh pencuri logam.

Menurut Abang Johari, terdapat satu akta yang boleh digunakan untuk memantau perkembangan ini kerana kawasan ini terletak dalam kawasan tanah bencah.

“Bagaimanapun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu termasuk memperketat undang-undang dan dasar sebelum sebarang tindakan digerakkan,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Gawai Dayak Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini pada Rabu lalu.

Kata Timbalan Ketua Menteri itu lagi, jika undang-undang semasa tidak mengcukupi untuk memberikan perlindungan yang diperlukan, terutama berkaitan pemuliharaan alam sekitar yang bersejarah, kerajaan perlu melakukan pindaan agar ia mencakupinya.

“Oleh itu saya ingin memberi amaran kepada para penceroboh agar tidak mengganggu lagi bangkai-bangkai kapal bersejarah dan peninggalan yang berkaitan kerana ia amat berharga dan bernilai kepada Sarawak.

“Saya juga meminta agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan agar terus memantau kawasan tersebut untuk mengelakkan sebarang tindakan yang tidak diingini termasuk laku musnah,” tegasnya.

Tapak bersejarah maritim yang terletak 28km di luar pesisir Santubong ini merupakan destinasi selaman yang agak popular.

Di sinilah terkuburnya kapal perang Jepun, Katori Maru dan Hiyoshi Maru selain kapal pemusnah IJN Sagiri.

Malah para peminat akiviti selaman menganggap kawasan itu sebagai lokasi terbaik bagi membongkar sisa-sisa sejarah sebenar Borneo semasa Perang Dunia Kedua.

Sekumpulan penyelam baru-baru ini mendapati bahawa kapal karam bersejarah tersebut “rosak teruk” oleh tindakan pencari logam yang tidak bertanggungjawab.

Mereka meninggalkan hanya serpihan dan sisa logam berselerak di seluruh dasar laut walhal bangkai kapal yang berusia lebih 60 tahun itu kini menjadi habitat terumbu karang dan pelbagai hidupan laut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru