Friday, October 7, 2022

Ketua Dewan Ulama PAS patut disekolahkan di Sarawak?

Secara Rawak

Muslim Sarawak tak berfikiran kolot seperti PAS. Justeru apabila mereka menuduh bahawa Muslim Sarawak tidak mempraktikkan Islam yang sebenar adalah satu pertuduhan yang jelas berniat jahat.

Pandi Suhaili
Pandi Suhaili

Bahkan ia menunjukkan bahawa Ketua Dewan Ulama PAS Mahfodz Mohamed seperti katak di bawah tempurung. Kata-kata penghinaan ini juga menunjukkan bahawa Mahfodz kecewa dengan pendirian Muslim Sarawak yang tidak terikut-ikut dengan pendekatan yang dibawa oleh PAS — pendekatan yang menggunakan Islam untuk mencapai cita-cita politik semata-mata.

Muslim Sarawak masih ingat dengan jelas apabila PAS menolak matlamatnya untuk menubuhkan negara Islam – diganti dengan negara berkebajikan. Adakah dengan sewenang-wenangnya mengubah matlamat parti ini menunjukkan bahawa PAS lebih Islamik daripada Muslim Sarawak?

Ataupun sebenarnya ia telah membuktikan kepada semua bahawa PAS sebenarnya sebuah parti yang memperdagangkan Islam untuk tujuan politik? Saya berasa hairan mengapa Ketua Dewan Ulama PAS secara tiba-tiba mengkritik Muslim Sarawak walhal jumlah Muslim Sarawak hanyalah sekitar 30 peratus.

Mengapa Mahfodz tidak memberi tumpuan kepada Muslim di Semenanjung yang merupakan kira-kira 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di Semenanjung?

Sejak bila Muslim 30 peratus ini lebih berkuasa dan berpengaruh daripada Muslim 70 peratus?

Saya mempelawa Mahfodz untuk datang dan menetap di Sarawak untuk melihat dengan lebih jelas situasi Islam di Sarawak.

Sekiranya Mahfodz bersetuju, saya sarankan agar dia tidak didampingi oleh anggota-anggota PAS sepanjang berada di sini. Ini untuk membolehkan dia melihat Sarawak tanpa gangguan daripada anggota-anggota PAS yang mungkin sebelum ini memberi maklum balas yang negatif semata-mata mahukan habuan politik daripada kepimpinan pusat PAS.

Muslim Sarawak akan buktikan kepada Ketua Dewan Ulama PAS bahawa mereka mungkin sebenarnya lebih Islamik daripada beliau kerana cara kehidupan Muslim Sarawak menetapi pengertian Islam secara harfiyah.

Muslim Sarawak bukannya seperti ahli dan penyokong PAS yang asyik bergaduh dengan sesama Muslim dan juga bukan Muslim. Muslim Sarawak mungkin mampu menghayati Islam lebih baik daripada para penyokong PAS di Semenanjung kerana Muslim Sarawak berada dalam masyarakat yang mana mereka adalah minoriti.

Mungkin Mahfodz patut disekolahkan di Sarawak agar dia akan menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sekarang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru