Tradisi sambutan Gawai eratkan silaturahim

0
25

Menjelang 1 Jun 2016, setiap bilik dalam sesebuah rumah panjang atau kampung akan bersedia untuk acara “rumah terbuka” kepada orang ramai dengan menghidangkan makanan dan minuman di bilik atau di ruai mereka. Masyarakat Dayak akan terus berpesta sambil bersukaria sesama sendiri.

Jika ada para tetamu jemputan khas, acara menyambut tetamu akan diadakan melibatkan seluruh warga rumah panjang atau kampung.

Selalunya, kuta yang berupa sebatang buluh yang digantungkan sehelai kain tradisi akan direntangkan pada jalan ke arah rumah panjang atau balai raya kampung.

Selepas melafazkan puisi untuk membuka kuta, ketua tetamu akan diminta untuk mencantas kuta tersebut dengan sebilah parang tajam. Acara simbolik ini menandakan semua halangan atau rintangan yang ada telah pun diatasi supaya rumah itu pun terbuka untuk tetamu.

Sebelum naik ke rumah, ketua tetamu sekali lagi diminta melembing seekor haiwan yang disediakan di kaki tangga rumah oleh pihak tuan rumah. Acara ini secara simbolik menandakan persembahan kepada para dewa and ampun-mengampuni antara pihak tuan rumah dan para tetamu dengan mengalirnya darah haiwan itu ke tanah di kaki tangga. Haiwan itu akan dibersihkan dan dimasak sebagai hidangan makanan untuk semua orang.

Apabila saja tetamu masuk ke rumah, mereka terus dijamu minuman yang dinamakan air naik dan air haus oleh sekumpulan perempuan yang berbaris menyambut ketibaan mereka di kiri dan kanan kepala tangga atau pintu rumah.

Adalah menjadi amalan tradisi bagi orang yang memberi minuman kepada seseorang, akan minum atau merasa sedikit daripada air minumannya dahulu sebelum memberikan minuman kepada orang lain. Amalan ini membuktikan minuman itu adalah sedap dan selamat untuk diminum.

Jika tidak, seseorang boleh menyuruh orang yang memberi minuman itu supaya merasa minumannya dahulu sebelum menerima pelawaan untuk minum.

Jika pemberi minuman enggan merasa minumannya, orang lain berhak menolak pelawaan untuk minum.

Ini penting kerana pada zaman dahulu sesetengah orang Dayak terkenal dengan ubat dan azimat pengaruh yang boleh mendatangkan tujuan baik atau jahat, terutamanya apabila berdepan dengan orang yang tidak disenangi atau seseorang itu ingin mencuba akan kerberkesanan ubat atau azimatnya.

Satu lagi amalan acara jamuan minuman ini adalah apabila semua orang menggunakan atau berkongsi satu gelas yang sama. Jadi, si penjamu minuman tidak perlu terpaksa minum terlebih dahulu sebelum setiap orang lain kerana dia boleh minum dahulu pada permulaannya.

Dan dengan nyaring mengumumkan dia akan merasai minumannya dahulu supaya didengar dan dilihat oleh sekumpulan orang lain yang ingin dijamunya.

Pada masa sekarang, dulang berisi air akan dibawa bersama-sama penjamu minuman untuk membasuh gelas atau cawan yang digunakannya menjamu minuman. Ada juga orang yang pandai meneguk minumannya tanpa bibirnya menyentuh gelas atau cawan itu.

Perarakan tetamu terus diadakan dengan berjalan sepanjang rumah panjang sebelum dipersilakan duduk di ruai ketua rumah atau ketua gawai.

Perarakan ini didahului oleh sekumpulan penari tradisi lelaki dan perempuan yang memakai pakaian tradisi berwarna-warni, diikuti oleh rombongan tetamu dan diiringi oleh sekumpulan pemuzik tradisi.

Sewaktu perarakan ini, semua penghuni rumah panjang akan berdiri dan berbaris di kanan dan kiri ruai sambil mengucapkan selamat datang dan berjabat tangan pada zaman sekarang.

Ketua rumah atau ketua gawai akan melaungkan kepada semua untuk menerima para tetamu yang sedang diarak itu: “Sila sambut, sambutlah para tetamu dengan segala hormatnya!”

Selepas para tetamu dipersila duduk, mereka akan didoakan oleh ketua rumah atau ketua gawai dengan memegang dan menghayunkan seekor ayam supaya kunjungan mereka membawa berkat dan malapetaka dihindari.

Selesai doa ini, para tetamu terus dijamu minuman beberapa kali yang dinamakan air basuh, air untung dan air hormat yang harus diterima tetamu sebagai tanda hormat-menghormati.

Lagi sekali, orang yang membahagi minuman itu akan minum dahulu sebelum para tetamu. Selepas minum, upacara sajian “miring” yang ringkas diadakan untuk menyambut tetamu dan para tetamu diundang untuk menyediakan sajian itu untuk memohon ampun dan roh pembaziran.

Kemudian, acara ucapan rasmi dimulakan. Ketua tuan rumah menyampaikan ucapan alu-aluan, selamat datang dan selamat hari gawai kepada tetamu jemputan khas dan hadirin semua.

13307478_10153539140975952_664901638451536703_nKetua tetamu pula akan diminta untuk membalas ucapan tuan rumah dan akan menyampaikan pertolongan jika ada. Selalunya jika orang kenamaan yang dijemput seperti pemimpin masyarakat atau ahli politik, mereka akan membawa buah tangan dengan memberikan sumbangan derma atau projek kecil.

Seterusnya, barulah acara makan dan minum tetapi sebelum itu sejenis ungkupan puisi membuka selimut makanan dan minuman akan dilafazkan oleh seseorang yang berbakat, selalunya lemambang (pemuisi).

Makanan dan minuman yang disediakan khas itu akan diselimuti dulu dengan kain tradisi “pua kumpu” yang akan dibuka setelah dipuisikan. Ini secara simbolik menandakan hidangan telahpun disediakan dengan rapi dan semua para hadirin dijemput untuk menjamu selera.

Bagi masyarakat Dayak, adalah menjadi tradisi semua hadirin termasuk jemputan dan tuan rumah makan bersama-sama serentak.

Sebagai tanda kemesraan dan hormat, adalah adat asal kaum Dayak menghidangkan makanan secara langsung kepada para tetamu berbanding cara layan diri atau “buffet” yang lazim diamalkan sekarang ini. Para hadirin akan diminta duduk berbaris dalam deretan sepanjang ruai rumah panjang untuk majlis makan.

 Sekumpulan anak muda daripada tuan rumah akan menghulurkan pinggan kepada semua hadirin secukupnya sebelum membahagikan makanan kepada semua satu demi satu. Cara ini dapat memastikan semua hadirin dapat makan dan hidangan makanan adalah mencukupi tanpa pembaziran makanan. Jadi, pihak tuan rumah dan para tetamu akan makan dan minum jamuan yang sama.

Bagi masyarakat Dayak, adalah menjadi adat hormat untuk menawarkan makanan dan minuman kepada tetamu walaupun seseorang itu mungkin adalah orang asing atau haiwan ternakan yang mungkin sesat jalan. Sekurang-kurangnya, nasi dan garam akan ditawarkan jika tiada lauk-pauk lain.

 Pada zaman dahulu, seseorang tangkapan perang boleh diangkat menjadi ahli keluarga penangkapya jika dia telah berkhidmat dan berjasa kepada tuannya melalui Gawai Batimbang (Pesta Mengangkat Ahli Keluarga).

Sampai begitulah betapa masyarakat Dayak mesra hormat dan kasih sayang kepada orang lain dan sesama sendiri. Kalau ada silap salahnya akan diselesaikan dengan cara adat istiadat tradisi dengan memegang prinsip “Hal kecil dijadikan tiada manakala hal besar dijadikan kecil”.

Acara tradisi sabung ayam jantan biasanya akan diadakan oleh kaum lelaki semasa gawai. Seorang ketua sabung akan dilantik untuk menentukan kalah menang dan peraturan-peraturan sabung.

Sebenarnya, acara laga ayam ini adalah amalan kepercayaan tradisi dan aktiviti masa lapang komuniti Dayak yang terkenal. Oleh itu, komuniti Dayak mempunyai pengetahuan mengenali jenis-jenis bulu dan sisik kaki ayam jantan yang menandakan nasib dan kemenangannya.

Pada asalnya, acara sabung tradisi hanyalah untuk tiga kali perlawanan saja di bahagian beranda (tanju) rumah panjang dan selepas itu ia menjadi acara bebas bagi mereka yang berminat untuk memyambungnya di tanah lapang di luar rumah.

Sebelum gawai, ayam-ayam jantan dari baka yang baik akan dipilih untuk dipelihara khas dengan mengikat kakinya (ditambat dalam bahasa Iban) atau disimpan di dalam sebuah reban di luar rumah.

Ayam-ayam sabung ini akan dibela sebaik mungkin, diberi makan minum secukupnya, dimandikan di air, dilatih berlawan dan akhir sekali diberi ilmu kebal sebelum melagakannya.

Sebelum hari menyabung, seorang lemambang (pemuisi) akan diminta untuk mengdeklamasikan “renong sabung” pada malam sebelum hari menyabung yang mengisahkan sejarah menyabung ayam.

Pada zaman sekarang, acara kunjung-mengunjung akan diatur supaya ada yang menunggu untuk dikunjungi dan ada yang dijemput untuk mengunjungi.

Ini bertujuan mengelak percanggahan acara di antara rumah-rumah panjang sekitarnya. Tarikh-tarikh gawai tertentu akan diumumkan lebih awal demi mengelak percanggahan ini. Tarikh-tarikh gawai akan disusun satu demi satu.

Beberapa hari sebelum atau selepas Gawai Dayak pada 31 Mei dan 1 Jun, ada beberapa jenis gawai sebenar bagi komuniti Dayak yang selalunya diraikan kerana bekalan beras yang banyak selepas musim menuai padi.

Gawai Bersimpan Padi akan diraikan untuk upacara menyimpan sejumlah padi yang banyak di atas siling (sadau) rumah sebagai tempat kediaman roh padi dan mengelakkan kecurian atau makluk perosak.

Gawai ini diadakan apabila siap menggugurkan bijian padi daripada tangkainya, mengipas untuk mengasingkan biji padi berisi daripada hampanya dan mengeringkan biji padi bernas untuk disimpan dalam jangka masa yang panjang. Akhir sekali, padi dari huma atau sawah yang jauh daripada rumah akan diangkut ke rumah untuk keselamatan padi itu.

Sebelum memulakan musim penanaman padi yang baru, Gawai Batu boleh diraikan untuk mengasah tajam peralatan logam pertanian seperti parang dan beliong atau kapak sekarang ini.

Gawai Lelabi (Majlis Perkahwinan atau Melah Pinang dalam bahasa Iban) selalunya diadakan pada musim ini kerana ramai yang pulang ke kampung halaman sewaktu cuti Gawai Dayak.

Bagi kaum Iban, adat “nguai” iaitu sama ada pengantin perempuan mengikut pengantin lelaki tinggal di rumahnya atau sebaliknya akan diputuskan dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Semasa maljis perkahwinan, pasangan mempelai itu lazimnya akan  memakai pakaian tradisi dan duduk di pelamin tawak supaya ahli-ahli keluarga daripada kedua-dua belah boleh mengucapkan selamat pengantin baru kepada raja dan ratu sehari itu.

Doa perkahwinan akan dilakukan oleh seseorang yang dihormati seperti ketua rumah sambil memegang dan menghayunkan seekor ayam di atas kepala mereka. Dewa yang diminta untuk memberkati perkahwinan mereka ialah Selampandai sebagai dewa pembuatan supaya perkahwinan itu berkekalan hingga ke anak cucu dan mereka melahirkan ramai anak sebagai waris.

Antara gawai-gawai lain yang boleh diadakan selepas musim menuai padi apabila ada banyak beras ialah Gawai Pangkong Tiang untuk memohon restu keselamatan, kesihatan dan rezeki selepas berpindah ke rumah baru, Gawai Tuah untuk mencari dan memasukkan nasib, Gawai Tempayan untuk memasukkan tempayan tembikar yang baru diperolehi, Gawai Roh untuk meraikan roh-roh orang yang telah meninggal, Gawai Kalingkang, Gawai Burung untuk memberi makan burung-burung bisa mengikuti kepercayaan asal dan Gawai Kenyalang untuk menaikkan patung burung enggang di atas tiang yang tinggi sebagai tanda simbolik memohon petolongannya menjemput dewa kegagahan dan menyerang musuh.

Gawai Mimpi juga boleh diadakan pada masa ini untuk bersyukur atas mimpi yang baik atau menawar mimpi yang buruk.

Ada juga yang mengambil peluang ini untuk mengadakan Gawai Sakit[ selepas usaha penyembuhan lain seperti “begama” dan “belian” gagal mengubati si pesakit. Dua lagi upacara penyembuhan ajaib yang agak besar ialah “besugi sakit” dan “berenong sakit”. Si pesakit boleh juga pergi “nampok” atau bertapa untuk mencari penyembuhan ajaib.

Di samping itu, ada yang mendirikan Gawai Betambah Bulu untuk membuat sehelai baju berbulu yang boleh dipakai bila-bila terasa tidak sedap tubuh badan dan Gawai Menangga Langit untuk memohon pengampunan jika telah disuruh dalam mimpi untuk melakukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana sebab-sebab tertentu.

Jika tidak meraikan gawai sebenar, seseorang Dayak akan meraikan Gawai Dayak pada umumnya. Jadi, Gawai Dayak adalah musim perayaan bagi pelbagai jenis pesta tradisi dan sosial. Gawai-gawai sebenar ini akan menjemput para tetamu dari kawasan sekitar.

Setiap kaum Dayak mempunyai pesta-pesta tradisi tersendiri tetapi mereka semuanya merayakan pesta menuai. Kaum-kaum Dayak di Kalimantan juga meraikan beberapa pesta-pesta tradisi pada sekitar musim menuai ini.

Musim menuai berlaku pada jangka waktu yang lebih kurang sama kerana musim permulaan penanaman bergantung kepada faktor geografi iaitu kedudukan Bintang Banyak dan Bintang Tiga  yang boleh dilihat oleh semua manusia di langit pada waktu malam.

Sekarang, Gawai Dayak diadakan pada peringkat daerah, bahagian dan negeri di Sarawak. Acara yang memeriahkan suasana perayaan Gawai Dayak sudah tentunya Pertandingan Ratu dan Raja Gawai yang dikenali sebagai “Kumang Gawai” dan “Keling Gawai”. Pertandingan ini bermula di peringkat daerah, kemudian ke peringkat bahagian dan kemuncaknya pada peringkat negeri.

Di kawasan bandar, Gawai Dayak diraikan di tempat seperti restoran atau hotel. Oleh kerana, ramai kaum Dayak yang akan balik kampung untuk meraikan Gawai Dayak di rumah-rumah panjang masing-masing pada pengujung bulan Mei, program pragawai diraikan biasanya pada awal bulan Mei.

Pesta PraGawai di bandar-bandar adalah mirip perayaan Gawai Dayak di rumah panjang atau kampung.

Selalunya, sebuah persatuan Dayak atau jawatankuasa gawai akan ditubuhkan di sesuatu daerah atau bahagian. Sebuah tempat akan dipilih dan sejumlah meja akan ditempah dengan tiket dijual kepada orang ramai yang ingin bersama memeriahkan gawai. 

Seseorang tetamu khas seperti orang kenamaan akan dijemput yang selalunya akan memberikan derma kepada persatuan Dayak berkenaan. Tuak akan disediakan untuk setiap meja. Makanan dan minuman ditempah dari restoran atau hotel. Makanan tradisi pansoh ayam dan umai akan disediakan oleh komuniti Dayak setempat untuk dikongsi dengan orang ramai.

 Pokok ranyai akan didirikan. Upacara “miring” juga dilakukan. Ada tarian tradisi dengan muzik tradisi dipersembahkan. Pertandingan Kumang dan Keling juga diadakan. Pantun boleh juga dinyanyikan oleh seseorang yang pandai atau dimainkan daripada cakera padat. Karaoke lagu-lagu Dayak selalunya disertakan. Acara penutupan iaitu mengiling tikar pun diadakan di bandar-bandar.

Pada akhir bulan Jun, majlis penutupan Gawai Dayak akan diadakan dengan acara simbolik menggulung tikar yang dipanggil “Ngiling bidai” oleh kaum Iban. Acara ini merupakan majlis kecil atau sederhana yang turut menyediakan makan minum setakat yang masih ada, pokok ranyai yang lebih kecil boleh didirikan, diikuti tarian ngajat sekurang-kurangnya dan tuak peruk mungkin dihidangkan. Tuak peruk disediakan daripada hampas nasi pulut yang tinggal dalam tempayan setelah air tuaknya hampir habis diminum. Jadi, tuak peruk selalunya berwarna putih.

Akhir sekali, sebuah tikar yang dipanggil “bidai” akan digulung untuk menandakan tutupnya perayaan Gawai Dayak. – Sarawakvoice.com