Saturday, May 21, 2022

Sarawak guna teknologi teknikal terkini jayakan SUKMA: ke-19

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee yakin segala peralatan teknikal yang akan digunakan untuk Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 pada 22 Julai depan berada dalam keadaan “sedia untuk digunakan.”
Menurutnya, dengan beberapa gelanggang kini hanya memerlukan  “sentuhan terakhir”, Sarawak telah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah yang terbaik.
Dr Ong“Misalnya kemudahan teknikal olahraga. Kita berpeluang melakukan ujian terhadap peralatan-peralatan dan teknologi catatan masa dan hebahan ketika penganjuran Pra-SUKMA hujung minggu lalu.
“Bukan sahaja peralatan teknikal berfungsi dengan baik, malah sistem paparan komputer gergasi serta sistem catatan masa juga tidak mengalami sebarang masalah dan gangguan.
“Ini memberikan keyakinan bahawa kita sebenarnya telah cukup bersedia untuk menganjurkan temasya dwitahunan itu,” katanya.
Kong Swee menambah, penggunaan fasiliti terkini ini merupakan pengalaman istimewa bagi penganjuran sukan di negeri ini yang sebelum ini bergantung kepada sistem manual.
“Dan berdasarkan percubaan yang kita lakukan minggu lalu, ia berjalan dengan lancar. Malah memberikan bacaan yang lebih tepat berbanding cara lampau (manual),” katanya lagi.
Mengakui bahawa teknologi ini menjadi penyuntik semangat kepada penganjuran aktiviti sukan di negeri ini, Kong Swee optimis segala-galanya akan berjalan lancar ketika temasya tersebut berlangsung.
Dalam temasya Pra-SUKMA minggu lalu, sukan olahraga menawarkan sebanyak 10 acara termasuk lari pecut 100 meter, 100 meter berpagar, 110 meter berpagar, 400 meter, 4×400 meter, 1,500 meter, 5,000 meter, 3,000 meter lari berhalangan, lempar cakera dan rejam lembing. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru