Thursday, December 8, 2022

Peniaga online digesa daftar perniagaan, mudahkan pelaksanaan GST

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bagi memudahkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), peniaga dalam talian perlu mendaftar perniagaan mereka dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad, hanya perniagaan yang mempunyai perolehan bercukai RM500,000 ke atas sahaja diwajibkan mendaftar.

Pendaftaran tertakluk kepada peniaga yang menjalankan perniagaan dalam talian sama ada tempatan mahupun luar negara.

Khazali ketika bercakap kepada wartawan selepas perasmian Seminar GST Nasional 2016 pada Selasa berkata, jabatan mengumpul maklumat mengesan peniaga dalam talian yang masih belum mendaftar.

Dianggarkan terdapat 30,000 peniaga dalam talian dikesan beroperasi di negara ini.

“Terdapat banyak cara mengesan peniaga ini, salah satu daripadanya ialah melalui penggunaan bayaran perbankan dalam talian oleh peniaga ini,” kata Khazali.

Menurutnya, sekiranya seseorang peniaga tidak mendaftar, dia boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 41 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) 2014.

“Diharap pada tahun kedua pelaksanaan GST ini, semua proses daripada pendaftaran, tuntutan dan sebagainya dapat ditambah baik,” katanya.

Berkaitan isu tuntutan bayaran balik GST, Khazali berkata setakat ini 70 peratus berjaya disalurkan kepada peniaga berdaftar dalam tempoh 14 hari.

Seminar dua hari itu disertai 1,200 peserta dari dalam dan luar negara.

Peserta berkongsi pengetahuan dan pendapat mengenai GST, selain menilai pelaksanaan GST selepas setahun dua bulan dilaksanakan.

GST di negara ini bermula 1 April 2015. Kadar enam peratus dikenakan sebagai menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang kadar keseluruhannya 16 peratus. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru