PBDS, STAR bentuk pakatan politik baharu “Rakyat Bersatu”

0
9

KOTA KINABALU: Sebuah pakatan politik baharu akan dilancarkan dalam tempoh tiga bulan akan datang, yang dikenali sebagai “The United People” atau “Rakyat Bersatu”, atau “Gabungan Rakyat”.

Pengerusi Protemnya, Phillip Among, berkata lebih tujuh parti politik telah menghadiri mesyuarat penubuhannya yang secara dasarnya, bersetuju untuk membentuk gabungan itu.

Among, yang juga Pemangku Presiden Parti Rakyat Bersatu Malaysia (MUPP), berkata gabungan itu akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang memerlukan sekurang-kurangnya tujuh parti politik bagi melayakkan pendaftarannya sebagai sebuah pakatan.

“Kami mahu ‘Rakyat Bersatu’ muncul sebagai perikatan formal kedua di Malaysia selepas Barisan Nasional (BN), yang ditubuhkan lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Katanya, Rakyat Bersatu kini sedang berusaha merangka visi, dasar dan perlembagaannya, dengan harapan, gabungan itu dapat dilancarkan dalam mesyuarat yang akan datang.

“Kami dalam proses membentuk pakatan yang kukuh,” kata Phillip selepas mesyuarat kedua perikatan tersebut.

Hadir sama ialah Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Santokh Singh, Setiausaha Agung PAP David Dass, Setiausaha Antarabangsa PAP, Balachanthar, Timbalan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Patrick Anek Uren, Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) Jack Giau, Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR) Lina Soo dan Presiden Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah (SAPU) Abdul Banning Mohamad

PAP merupakan parti politik yang berasal dari Semenanjung manakala STAR dan PBDS berpangkalan di Sarawak.

Among berkata, Rakyat Bersatu bercita-cita untuk menjadi satu pakatan yang mampu memberi cabaran bukan sahaja untuk pilihan raya umum yang akan datang, tetapi untuk mana-mana pilihan raya yang lain.

“Objektif utama kami adalah untuk memastikan suara Sabah dan Sarawak didengar di Parlimen selain memastikan Ahli Dewan Undangan Negeri kami (ADUN) diwakili oleh parti tempatan.

“Kami tidak menghalang mana-mana pihak dari Semenanjung berada di Sabah dan Sarawak, tetapi kita mahu mereka menghentikan monopoli dan kesombongan melampau terhadap rakyat kedua-dua negeri ini.”

Beliau menambah Gabungan Rakyat mahu Sabah dan Sarawak untuk lebih diwakili dalam Parlimen selain menangani isu-isu kritikal seperti status Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia selain pelanggaran kepada Perjanjian Malaysia 1963.

“Jika kita berada dalam Parlimen, kita akan membentangkan Rang Undang-Undang Perlindungan Perjanjian Malaysia 1963 bagi memastikan perjanjian tersebut terus dilindungi.”

Ditanya sama ada parti tempatan seperti Parti Maju Sabah (SAPP) akan menyertai gabungan itu, Phillip berkata Rakyat Bersatu pasti akan menjadi sebahagian daripada pakatan itu selepas penubuhannya.

Among berkata, gabungan itu berharap dapat membawa perubahan bukan sahaja untuk Sabah dan Sarawak, tetapi juga seluruh negara.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan melihat Malaysia yang baharu.”

Mesyuarat pertama Rakyat Bersatu telah diadakan pada 24 April lalu dan turut dihadiri oleh Perpaduan, MUPP, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah (Bersama) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah. – Sarawakvoice.com