Thursday, December 8, 2022

Malaysia kuasa ekonomi kedua terbesar Asean 2025

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menjelang 2025, Malaysia diramalkan muncul sebagai kuasa ekonomi nombor dua di Asean.

Rantau Asean semakin terkenal sebagai wilayah pelaburan serta mempunyai hubungan perdagangan global.

Pada 2016, Malaysia menduduki tempat keempat.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Asean diramalkan meningkat kepada AS$5.8 trilion pada 2025 berbanding AS$2.6 trilion kini.

Jika diukur dari segi dolar AS ia mengatasi Jepun.

Asean membina rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan ekonomi Asia Pasifik lain, termasuk FTA China-Asean, FTA Asean-India dan FTA Asean-Australia-New Zealand.

Rundingan untuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau di kalangan anggota Asean bersama enam negara lain turut memperluas skop liberalisasi perdagangan dan pelaburan di Asia Pasifik.

Ketua Pakar Ekonomi IHS Global Insight, Asia Pasifik, Rajiv Biswas dalam kenyataannya berkata, sebaik sahaja Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dilaksanakan, empat anggota TPP Asean iaitu Brunei, Malaysia, Singapura dan Vietnam akan mendapat banyak manfaat daripadanya.

Antaranya manfaat diperoleh ialah faedah liberalisasi perdagangan dan pelaburan dengan negara ekonomi terbesar dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada.

“Banyak negara di Asia Tenggara dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ China, yang akan mempercepat pembangunan Lembah Mekong sebagai hab pengeluaran global baharu,” katanya.

Rajiv sedia untuk berucap pada sesi “Merealisasikan Pasaran Modal Asean 2026” dalam Forum Ekonomi Dunia Berkaitan Asean selama dua hari, bermula Rabu.

Menurutnya, peningkatan kos upah di pesisiran China menjadikan Asean semakin menarik sebagai destinasi pelaburan langsung asing oleh syarikat multinasional ke dalam industri dengan pengeluaran kos rendah.

Terdapat pelbagai inisiatif serantau bagi merangsang pembiayaan pembangunan prasarana, termasuk Bank Pelaburan Infrastruktur Asia dan Tabung Laluan Sutera.

Menurut Rajiv, hal ini menawarkan rangsangan ketara untuk aliran pembiayaan pembangunan projek prasarana Asia Tenggara seperti stesen tenaga dan jalan kereta api.

Namun, meskipun terdapat banyak pemacu pertumbuhan positif untuk rantau Asean pada dekad akan datang, Asean juga menghadapi risiko dan cabaran besar ke atas pembangunan ekonomi masa depannya.

Menurut Rajiv, Asean mencapai kemajuan besar dalam mengukuhkan ketahanan ekonomi makro sejak krisis Asia Timur.

Bagaimanapun, setiap negara masih menghadapi pelbagai ketidakseimbangan ekonomi makro yang menimbulkan risiko ekonomi.

“(Terdapat) hutang isi rumah yang tinggi kepada nisbah KDNK di Thailand dan Malaysia, masalah hutang lapuk sektor perbankan di Vietnam dan defisit akaun semasa yang besar dan berterusan di Kemboja dan Laos,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru