Malang malam Gawai di Rumah Panjang Benan, Muara Payang, Sarikei

0
24

SARIKEI: Ia pasti menjadi detik paling menyedihkan bagi penghuni Rumah Panjang Tuai Rumah Benan, Sungai Mugu, Muara Payang, dekat sini apabila rumah panjang mereka musnah dijilat api ketika kesemua penduduk sedang dalam persiapan akhir menyambut hari Gawai Dayak esok.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, rumah tersebut yang terletak di pedalaman Sarikei tidak dapat diselamatkan apabila api merebak ganas hingga api menyambar satu demi satu rumah 16 pintu itu.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6.21 petang.

089d8b2e-2e8a-4797-84ab-2409043ba9be

Seramai 7 pegawai dan anggota, termasuk 4 anggota Bomba Bantuan dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba Sarikei dengan menggunakan bot laju.

“Bomba hanya tiba dua jam 28 minit kemudian setelah melalui sungai yang gelap dan berbahaya.

“Ketika itu, rumah panjang tersebut telah pun seratus-peratus terbakar,” katanya ketika dihubungi sarawakvoice.com.

Kata Farhan, anggotanya kemudian bertindak memadam sisa-sisa kebakaran dengan menggunakan satu ‘portable pump’, satu aliran 400 kaki, satu ‘breeching’ dan dua ‘nozzle’ yang menggunakan sumber air terbuka.

“Pihak kami bertugas hingga operasi tamat pada jam 11.10 malam setelah melakukan kerja-kerja penyejukan sambil menyediakan bantuan pascakebakaran.

“Daripada maklumat awal yang kita perolehi, tiada mangsa yang cedera dan setelah dihitung, bilangan mereka yang hilang tempat tinggal ialah 45 lelaki dewasa, 40 perempuan, 20 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan,” katanya.

Farhan menambah, suasana sedih menyelubungi mangsa apatah lagi esok merupakan perayaan Gawai Dayak yang amat dinanti-nantikan penduduk.

Punca kebakaran masih disiasat. – Sarawakvoice.com