GST berjaya diterima baik rakyat, terbukti penawar mujarab ketika ekonomi negara terhimpit

0
3

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)yang memasuki bulan ke-14 hari ini jelas semakin diterima baik rakyat.

Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat semakin menyedari bahawa cukai ini yang diperkenalkan pada 1 April tahun lalu telah menjadi “penyelamat kepada ekonomi negara” yang terpaksa berhadapan saat tidak menentu ekonomi dunia.

Ia penawar yang ajaib biarpun dilihat sebagai keputusan yang tidak popular hingga menjadi senjata politik untuk menyerang kerajaan.

Najib berkata, beliau gembira apabila pakar-pakar ekonomi berpendapat bahawa pelaksanaan GST merupakan langkah amat tepat kerajaan Malaysia.

“Dengan ketidaktentuan ekonomi global dan tanpa pelaksanaan GST, Malaysia pasti akan terjerumus ke dalam krisis ekonomi yang amat serius seperti yang berlaku di Greece.

“Secara keseluruhannya, kami bukan sebuah kerajaan yang lari dari tanggungjawab sebaliknya melaksanakan apa-apa jua keputusan yang difikirkan untuk kebaikan negara dan rakyat,” tegasnya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Perbendaharaan Malaysia di Kompleks Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Kata Najib, niat baik dan tujuan murni kerajaan itu bagaimanapun disalahertikan oleh sesetengah pihak dan dijadikan isu politik walhal secara rasional dan waras, ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

“Hasil negara yang mengukuh menyumbang kepada ekonomi resilien yang menentukan kesejahteraan rakyat terus terbela,” katanya.

Najib berkata kutipan bersih GST enam peratus bagi tempoh sembilan bulan tahun lepas telah berjaya mengutip sebanyak RM27.01 bilion dan pada tahun ini dijangka meningkat kepada RM39 bilion.

“Kutipan GST kemudian dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksaaan projek-projek utama seperti MRT, LRT, Lebuh Raya Pan Borneo, Rapid Pengerang selain projek-projek ICU yang masih kita laksanakan.

“Pada masa yang sama, kebajikan penjawat awam juga terus dilaksanakan termasuk kenaikan tahunan khas pada tahun ini,” katanya.

Najib menambah, ekonomi Malaysia dipengaruhi faktor luaran seperti ketidaktentuan ekonomi dunia berikutan kejatuhan harga minyak, penguncupan ekonomi China dan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat yang di luar kawalan kerajaan.

Oleh itu katanya, kawalan dalaman perlu di samping keputusan yang tepat bagi mendorong pacuan ekonomi negara walaupun faktor luaran menggugat dan menekan prestasi semasanya.

“Oleh itu, pencapaian ekonomi negara pada kadar 5 peratus pada tahun lepas dan 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini boleh dianggap pencapaian yang amat baik bersandarkan kepada senario luaran yang tidak menentu dan lemah,” ujarnya lagi. – Sarawakvoice.com