Sunday, December 5, 2021

Fatimah turun padang ketuai operasi khas selamatkan gelandangan di bandar raya Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Kesempitan hidup dan keluarga yang berantakan menjadi punca kebanyakan individu di negeri ini menjadi gelandangan.

Menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah, keadaan ini diburukkan lagi dengan kegagalan individu terbabit mendapatkan pekerjaan, gagal membayar sewa rumah selain dibuang keluarga.

“Oleh itu saya mengetuai sendiri ‘Op Gelandangan’ ini dengan tujuan memberi maklumat kepada mereka bahawa wujud tempat perlindungan sementara yamg disediakan oleh kerajaan yang dinamakan ‘Anjung Singgah’.

“Pada masa yang sama, kita juga ingin menjaga imej bandar raya Kuching daripada masalah gelandangan ini sambil menyemai sikap prihatin masyarakat terhadap insan lain,” jelasnya ketika ditemui sewaktu operasi tersebut berlangsung di kawasan komersial Electra House dekat sini malam tadi.

Dalam operasi tersebut, tiga gelandangan lelaki diselamatkan dan ditempatkan sementara di Anjung Singgah di Jalan Rubber dekat sini, sebelum bantuan seterusnya dihulurkan.

Fatimah berkata, beliau amat teruja dengan usaha murni seperti ini dan berharap lebih ramai sukarelawan dan wakil agensi lain tampil untuk menyertainya pada masa akan datang.

“Malah kita berharap anggota masyarakat yang mempunyai informasi tentang gelandangan ini melaporkan kepada pihak berkuasa dan polis untuk tindakan susulan daripada pihak kita,” tambahnya lagi.

Seramai 30 anggota terlibat dalam operasi ini termasuk wakil daripada Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Kesihatan, Pejabat Residen, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuching Utara.

Menurut Fatimah, mereka yang menjadi gelandangan ini dibenarkan tinggal secara percuma di Anjung Singgah selama 14 hari, dan dalam tempoh tersebut akan dibimbing untuk mendapatkan pekerjaan ataupun mendapatkan kediaman yang selesa.

“Anjung Singgah telah diwujudkan sejak tiga tahun lalu dengan peruntukan khas oleh Kerajaan Pusat dan berdasarkan rekod, ia telah menempatkan 435 penghuni setakat ini.

“Jika ada kalangan mereka yang bekerja, mereka hendaklah kembali ke Anjung Singgah sebelum jam 11 malam dan jika ia lebih daripada tempoh yang ditetapkan, hendaklah melaporkan diri kepada anggota Rela yang bertugas.

Kata Fatimah, berdasarkan rekod tersebut juga, didapati golongan belia merupakan yang paling banyak memohon untuk tinggal sementara di situ, selain ada yang berumur sekitar 60 tahun.

“Ketika ini antara penghuni Anjung Singgah ini termasuklah empat lelaki dan seorang wanita yang kita selamatkan pada minggu lepas kerana menghuni premis kosong di Jalan P Ramlee,” katanya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru