Wednesday, November 30, 2022

Malaysia kekal top 20 negara kompetitif di dunia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Buku Tahunan Daya Saing Dunia 2016 (WCY) melaporkan Malaysia masih berada kalangan 20 negara paling berdaya saing di dunia.

Malaysia tersenarai pada kedudukan ke-19 daripada 61 negara lain, jatuh lima tangga berbanding berada pada tangga ke-14 tahun lepas.

Buku terbitan pusat daya saing dunia, Institute for Management Development (IMD) berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

Kejatuhan daya saing berpunca daripada merudumnya harga komoditi, akibat pengukuhan dolar dan penyusutan lembaran imbangan dalam sektor awam dan swasta.

Senarai ranking 20 negara teratas itu ialah:
1. Hong Kong (100.00)
2. Switzerland (98.02)
3. USA (97.88)
4. Singapura (97.65)
5. Sweden (92.35)
6. Denmark (91.76)
7. Ireland (91.54)
8. Netherlands (91.32)
9. Norway (90.05)
10. Kanada (90.05)
11. Luxembourg (90.02)
12. Jerman (88.57)
13. Qatar (86.72)
14. Taiwan (86.37)
15. UAE (86.07)
16. New Zealand (85.61)
17. Australia (84.27)
18. United Kingdom (83.34)
19. Malaysia (83.05)
20. Finland (82.04)
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia mendahului Finland (tempat ke-20), Israel (ke-21), Belgium (ke-22), Iceland (ke-23), Austria (ke-24), China (ke-25), Jepun (ke-26), Republik Czech (ke-27), Thailand (ke-28) dan Korea Selatan (ke-29).

WCY turut meletak Malaysia berada pada tangga pertama dalam kalangan 31 negara dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita kurang daripada AS$20,000, mengekalkan kedudukan pertamanya selama tiga tahun berturut-turut.

Mustapa berkata daripada kalangan 28 negara dengan penduduk melebihi 20 juta, Malaysia berada duduk pada senarai ketujuh.

Dalam negara Asean, Malaysia kekal pada senarai kedua dan pada kedudukan keenam dalam kalangan 14 negara di rantau Asia Pasifik.

Mustapa berkata ranking berkenaan jelas menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi semasa bukan bermakna jaminan daya saing pada masa depan.

Corak yang sama yang dapat dilihat dalam kalangan semua negara dalam 20 ekonomi terbaik iaitu peraturan mesra perniagaan serta prasarana fizikal.

Beliau berkata berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia, Malaysia perlu meningkatkan usaha demi memperbaiki dan mengembangkan ekonomi agar lebih berdaya saing di peringkat global.

Malaysia duduk di tempat ke-14 dalam Kecekapan Perniagaan dan antara 10 terbaik dalam Pasaran Tenaga Kerja pada tempat keenam (2015: keempat) dan amalan Pengurusan pada kedudukan kesembilan (2015: keenam).

Manakala dari segi Produktiviti dan Kecekapan, Malaysia meningkat tiga kedudukan berada di tempat ke-21 (2015: ke-24).

Kedudukan negara susut dalam Kewangan dan Sikap dan Nilai, masing-masing sebanyak lima dan tiga kedudukan, kepada kedudukan ke-20 dan ke-11.

Pertumbuhan ekonomi yang kukuh amat penting bagi negara demi memastikan Malaysia mencapai aspirasi untuk menjadi negara maju menjelang 2020.

Menurut Mustapa lagi, inisiatif di bawah Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi akan diteruskan seperti termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-11.

“Strategi pembangunan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 menggariskan produktiviti sebagai pengubah untuk mencapai pertumbuhan yang mapan dan inklusif.

WCY 2016 adalah berdasarkan kepada analisis lebih 340 kriteria yang diperoleh daripada empat faktor: Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Prasarana. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru