SUPP mahu tandingi 20 kerusi DUN lima tahun dari sekarang

0
3

KUCHING: Bagai tidak puas hati dengan jumlah kerusi yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri ke-11, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu memastikan jumlah kerusi yang ditandinginya dapat ditambah pada pilihan raya ke-12 nanti.

Pada pilihan raya 7 Mei, parti tertua Sarawak itu bertanding di 13 kerusi, tetapi hanya memenangi tujuh kerusi, temasuk kerusi baharu Batu Kitang.

Hakikatnya, SUPP memang berhasrat diberi 20 kerusi pada pilihan raya negeri 2016.

SUPP mahu bertanding di 20 kerusi pada 2021, lima tahun dari sekarang. Pada 2011, SUPP bertanding di 19 kerusi, tetapi tewas di 13 kerusi.

Dengan pencapaian terburuk dalam sejarahnya, SUPP turut terlepas jawatan timbalan ketua menteri apabila presidennya Tan Sri George Chan kalah di Piasau.  
Dalam ucapannya di Majlis Rumah Terbuka parti berkenaan, presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, dengan memenangi tujuh kerusi, bermakna parti itu memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi yang dipertandingkan.

Dr Sim menang di Batu Kawah, menewaskan calon DAP dan calon Bebas.

“Saya boleh beri jaminan bahawa kerusi lain adalah milik SUPP. Kerusi berkenaan, saya boleh beri jaminan, lain kali, kita akan dapat 20. Kita mahu menang 20 kerusi daripada 20 yang diperintukkan,” katanya.

Selepas krisis berlaku dalam parti, Datuk Sri Wong Soon Koh dan beberapa orang wakil rakyat telah menubuhkan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Sebelum bertanding atas tiket Barisan Nasional baru-baru ini, mereka diminta untuk melepaskan keahlian parti terbabit.

Namun, dalam satu tindakan yang dianggap mengejutkan, wakil rakyat terbabit iaitu Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong (Engkilili) telah memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kerusi berkenaan pada asalnya ditandingi SUPP, dan Dr Sim berkata SUPP akan berusaha untuk mendapatkan kembali kerusi terbabit.

Dr Sim berkata walaupun pilihan raya sudah berlalu, kempen, usaha memberi perkhidmatan dan janji akan diteruskan.

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan berkata, sebebelum pilihan raya lalu, ada pihak yang tidak menaruh harapan kepada SUPP, tetapi dengan kerja keras, ia dapat buktikan pihak berkenaan silap.

Di bawah kepemimpinan Dr Sim, pelbagai langkah diambil untuk menjenamakan semula parti berkenaan, dan ia mendatangkan hasil. – Sarawakvoice.com