Wednesday, November 30, 2022

Lulusan sijil kemahiran pertanian senang dapat kerja

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehpasaran para lulusan pusat-pusat latihan kemahiran pertanian sangat tinggi dan masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan sektor pertanian negara.

Kira-kira 80 peratus daripada lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada 12 pusat latihan kemahiran pertanian di seluruh negara bekerja dalam industri berkenaan manakala selebihnya melibatkan diri dalam keusahawanan, kata Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Perhubungan Industri dan Usahawan, Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Dr Mohd Hishamfariz Mohd Amin.

Para penggiat tani sentiasa menghubungi NATC bagi membantu pihak industri untuk mengisi kekosongan tenaga mahir pelbagai bidang pertanian. Secara purata, NATC melahirkan antara 1,000 dan 1,200 lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) setiap tahun.

“Melalui pangkalan data, kami dengan mudah boleh pilih calon berpotensi berdasarkan jurusan dan kelayakan yang diperlukan. Kami juga sebarkan maklumat mengenai sebarang kekosongan pekerjaan kepada calon-calon atau akan hubungkan mereka dengan syarikat-syarikat berkenaan,” jelasnya.

“Statistik untuk tiga bulan pertama tahun ini, menunjukkan sebanyak 99 syarikat menghubungi NATC untuk mengisi keperluan lebih 400 tenaga mahir sektor pertanian,” kata beliau kepada Bernama.

Mohd Hishamfariz berkata lebih ramai lulusan tenaga mahir diperlukan bagi memenuhi keperluan sektor pertanian negara berikutan wujud permintaan tinggi dan berterusan daripada pihak industri.

Sedemikian, adalah tidak menghairankan wujud kebergantungan sektor pertanian negara terhadap tenaga kerja asing.

Pada 16 Mei, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tenaga kerja tempatan mengisi 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor yang bakal diwujudkan di negara ini menjelang tahun 2020 bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing. Kira-kira 60 peratus daripada peluang kerja yang bakal diwujudkan itu memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional.

Mengakui peranan penting NATC dan kebergantungan industri pertanian terhadap tenaga mahir lepasan NATC ialah pemilik KHM Strawberry & Jam, di Tanah Rata, Cameron Highlands Khairani Mohd, yang mengusahakan ladangnya di tanah tinggi itu sejak 30 tahun lalu.

Katanya NATC banyak menyumbang dan membantu industri pertanian dalam menyediakan tenaga mahir, yang pada peringkat permulaan dahulu sangat bergantung kepada pekerja asing.

“Kini industri mendapat semakin ramai tenaga mahir. Maksudnya mereka memang terlatih dan sememangnya ‘hands-on’ sama ada di ladang mahupun pejabat termasuk aspek teknikal dan pemasaran,” katanya.

Mempunyai latar belakang pendidikan seni bina, Khairani, 60, berkata beliau bermula daripada ‘kosong’ ketika membuka ladang itu kerana tidak mempunyai sebarang ilmu dalam pertanian dan amat sukar mencari pembantu serta pekerja yang mempunyai ilmu untuk bekerja di ladangnya.

“Kini kami tidak bimbang lagi. Malah ada kalanya kami terlebih dahulu tempah pelatih-pelatih di pusat-pusat latihan kemahiran pertanian. Sekarang ini orang industri mahukan pekerja yang mahir, mereka tidak ada masa untuk melatih pekerja baru,” kata beliau.

Mengulas lanjut mengenai NATC, Mohd Hishamfariz menjelaskan bahawa selain bertanggungjawab menyelaras program-program latihan bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, majlis itu memberi tumpuan kepada membekalkan tenaga mahir yang terlatih kepada industri kerana itu adalah idea asal penubuhan.

NATC juga bertanggungjawab membentuk dan melahirkan golongan usahawan di kalangan para lulusan yang tidak berminat bekerja di sektor itu dan membuka ruang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi melalui kolaborasi dengan institusi-institusi pendidikan tinggi, jelasnya.

Menurut beliau, tenaga pengajar di pusat-pusat latihan kemahiran di bawah NATC terdiri daripada tiga pihak iaitu pegawai-pegawai teknikal kementerian, golongan pesara dan wakil-wakil industri bagi memastikan modul-modul yang disediakan meliputi pelbagai bidang berkaitan.

Katanya pelbagai inisiatif dan usaha telah dan akan terus dijalankan oleh NATC termasuk mewujudkan hubungan erat dengan pihak industri melalui satu jawatankuasa perhubungan industri.

“Jawatankuasa ini bersidang empat kali setahun dan di sinilah pihak industri dalam pelbagai bidang pertanian memberikan input serta membincangkan usaha-usaha bagi menambah baik kualiti graduan untuk dibekalkan kepada mereka kelak,” katanya.

Program jalinan kerjaya turut dianjurkan beberapa kali dalam setahun dengan wakil-wakil industri, alumni lulusan NATC serta pelatih-pelatih tahun akhir untuk berkumpul menyertai pelbagai program, yang antara lain meliputi temuduga terbuka, taklimat kerjaya dan motivasi.

Walaupun pelbagai usaha dijalankan bagi memudahkan para pelatih mendapat pekerjaan, Mohd Hishamfariz berkata terdapat juga antara mereka yang agak memilih dan atau tidak hadir untuk melaporkan diri walaupun sudah ditawarkan pekerjaan.

Menurut beliau, ada yang hanya mahu bekerja berdekatan rumah atau kampung halaman dan itu merumitkan mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

Sependapat dengan Mohd Hishamfariz, Khairani berkata selain itu golongan belia masa kini lebih gemar bekerja di tempat berhawa dingin, kerja mudah dan boleh melepak umpamanya di rangkaian-rangkaian restoran makanan segera walaupun gajinya tidak seberapa.

Berpendapat minat golongan belia yang merupakan satu daripada pelbagai faktor yang menghalang mereka, Khairani berkata terdapat ibu bapa yang memandang latihan kemahiran sebagai lekeh dan pertanian sebagai kotor, lantas mengutamakan bidang akademik.

“Silaplah jika mereka anggap bidang kemahiran tidak menjamin masa depan. Contohnya, tawaran gaji bagi pemegang sijil tahap 3 bidang perikanan selalunya di antara RM2,500 hingga RM4,000, sedangkan lulusan akademik biasa tidak dapat tawaran sebaik itu.

“Syarikat-syarikat sanggup menawarkan sedemikian kerana mereka tahu bahawa graduan itu serba boleh. Jadi tidak hairanlah jika ada pelatih yang sudah ditawarkan pekerjaan sebelum tamat latihan,” jelasnya.

Khairani berkata masih ramai yang tidak tahu akan kewujudan dan fungsi NATC serta tidak menyedari bahawa belia berkemahiran bukan sahaja mudah mendapat pekerjaan, malah skim gaji mereka juga lebih tinggi berbanding rakan-rakan berkelulusan akademik di tahap yang sama.

Khairani, yang mewakili Persatuan Pekebun-pekebun Melayu Cameron Highlands sebagai ahli majlis NATC, turut menjalankan industri agro pelancongan, fertigasi dan pemprosesan produk-produk hiliran berasaskan strawberi seperti kordial, jem, topping dan strawberi kering.
Beliau mempunyai 25 pekerja, 10 daripadanya adalah rakyat tempatan yang bekerja dalam bidang pemasaran, pentadbiran pejabat, jualan dan pemprosesan termasuk yang berkelulusan SKM manakala bakinya adalah pekerja asing.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru