Sunday, August 14, 2022

52 peratus daripada 2.6 juta penduduk tinggal di bandar tuntut pembangunan urban dilakukan di Sarawak : Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Tanggapan orang ramai yang mengatakan penduduk Sarawak ketinggalan dan menjadi penghuni sebahagian besar kawasan luar bandar kini tinggal mitos kerana kajian kependudukan pada enam tahun lalu menunjukkan, sebanyak 52 peratus daripada 2.6 juta penduduk di negeri ini kini menjadi penghuni kawasan bandar, kata Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

8f039796-d780-427c-a109-bfc064ac929cMenteri Perumahan dan Urbanisasi itu berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2010, kebanyakan populasi itu kini tertumpu di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu, kesan migrasi penduduk luar bandar ke bandar.

Oleh kerana kepadatan tersebut, kerajaan kini terpaksa melaksanakan beberapa projek pembangunan semula sebahagian daripada bandar raya Kuching, Bintulu, Miri, Sibu, Bintulu dan Kapit bagi memenuhi keperluan pertambahan populasi ini.

“Lima projek pembangunan semula yang kini sedang dilaksanakan termasuklah Projek Darul Hana di Kuching, Kampung Tabuan/ Tabuan Foochow (Kuching),Kampung Sejingkat (Kuching), Kampung Kapit Baru (Kapit) dan Tasik Biru (Bau).

“Sebuah lagi projek pembesaran yang difokuskan pada Rancangan Malaysia Ke-11 ialah Projek Pembangunan Kemuyang di Sibu manakala projek di luar RMK 11 ialah penyediaan sekitar 860 tapak lot untuk pembangunan kawasan terancang Silviculture atau Nangka Baru di Batu 11, Jalan Oya–Sibu,” katanya pada sidang media mengenai hal-hal berkaitan perumahan dan urbanisasi di pejabatnya di sini pagi tadi.

Projek Pembangunan Kemuyang yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita) telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada 14 Februari lalu.

Pembangunan semula kawasan penempatan baharu ini sebenarnya tepat pada masanya bagi membolehkan penduduk di negeri ini hidup secara tersusun, dengan prasarana yang sedia lengkap, sambil membolehkan rakyat hidup lebih selesa berbanding suasana kampung tradisi yang sesak.

“Kita bukan sahaja memastikan kawasan ini dimajukan secara bersepadu, lebih daripada itu ia juga memastikan penghuninya hidup selesa bagi mengelakkan suasana tegang yang menyebabkan bercambahnya gejala sosial dan jenayah,” katanya.

Menurutnya, semua konsep pembangunan ini akan mengambil konsep pembangunan semula Darul Hana di Kuching, yang tidak menjejaskan kehidupan harian pemilik, sambil penyediaan rumah-rumah baharu pula berada dalam kos yang mampu dibayar oleh pemilik.

Kata Abang Johari lagi, bagi menjayakan projek ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk kerja-kerja tanah dan prasarana di Darulhana, Kemunyang, Sejingkat, Kapit dan Tabuan.

“ Kita masih memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Pusat untuk tujuan ini manakala untuk perumahan kita akan mendapat bantuan Jabatan Perumahan Negara dan PRIMA,” tambahnya lagi.

Pada majlis yang sama, Abang Johari turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Bandar Baharu Negeri yang dipengerusikan oleh beliau sendiri untuk menangani dan menyelaras pelbagai inisitiaf berkaitan isu pembangunan bandar di negeri ini.

“Ia juga merupakan forum bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pembangunan semula bandar dan penempatan serta mencadangkan penyelesaian yang sesuai selain memastikan penyediaan kemudahan awam dan pusat perpindahan bandar diselaraskan dengan baik.

“Jawatankuasa tersebut juga berperanan mengkaji dan mencari keperluan dana untuk penyediaan kemudahan awam dan sosial di kawasan pembangunan semula bandar ini kelak,” tambahnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru