KUCHING: Dua lelaki maut termasuk seorang rentung dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Sultan Tengah, berhampiran Kuching Family Park awal pagi ini.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah motosikal.

“Kita menerima panggilan sekitar jam 3.31 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan lapan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.

“Setibanya di lokasi sembilan minit kemudian, kami segera memadamkan sebuah kereta terbalik dan terbakar manakala penunggang motosikal pula telah mati di tempat kejadian.

“Sebaik api padam, anggota mengeluarkan mayat pemandu yang rentung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Farhan, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan pasukan forensik bomba.

Bagaimanapun siasatan awal polis mendapati kereta dipandu laju dan motosikal tidak berlampu dipercayai menjadi punca kejadian. – Sarawakvoice.com