Wednesday, August 17, 2022

Lebuhraya Pan Borneo pemangkin kemajuan ekonomi Sabah

Secara Rawak

TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi negeri Sabah.

Beliau berkata, dengan adanya lebuh raya itu, kawasan pantai timur Sabah yang mempunyai potensi ekonomi yang besar dalam sektor pertanian dan pelancongan mampu dibangunkan dengan lebih pesat lagi.

“Kita yakin bahawa projek ini akan membantu merancakkan agenda pembangunan negeri dengan memacu lebih pantas perkembangan sektor ekonomi di sesuatu kawasan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Tawau-Sandakan di sini hari ini.

Pelancaran pakej Tawau-Sandakan sepanjang lima kilometer dari Kilometer 43 hingga ke Kilometer 48 (Bulatan Check-Point Semporna-Tawau) itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Musa berkata: “Inilah nikmat dan manfaat jika kita terus setia menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjuang dan berkhidmat untuk membela nasib rakyat. Kerajaan BN yang terbukti berjaya membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri Sabah termasuklah untuk rakyat di kawasan pantai timur.

“Antaranya pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Tawau, peruntukan besar untuk keselamatan dan pertahanan menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan menaik taraf jalan raya Kalabakan-Sapulut di Tawau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Sabah tentang pentingnya untuk mereka terus mengukuhkan perpaduan, kesatuan, solidariti dan perjuangan bagi mengekalkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran yang menjadi faktor penting bagi menjayakan agenda pembangunan untuk rakyat yang dijuarai BN.

Musa juga merakamkan penghargaan kepada Najib kerana Sabah begitu dekat di hati perdana menteri sejak beliau (Najib) belum pun menjadi perdana menteri dan komitmen terhadap Sabah yang berterusan sehinggalah beliau dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya rakyat Sabah sememangnya bijak mengenang budi, setia kepada perjuangan dan taat kepada pemimpin yang berjiwa rakyat.

Najib dalam ucapannya yang menyentuh kejayaan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah berkata ia adalah kejayaan BN dan rakyat Sabah perlu terus memberi sokongan kepada Musa sebagai Pengerusi BN Sabah. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru